Seu Bock tidak berkecil hati


CHONG WEI (kiri) mengharapkan sentuhan Misbun bagi membantunya meningkatkan prestasi sebelum turun beraksi dalam Sukan Olimpik 2012 London tahun depan.


TEY Seu Bock tidak akan berkecil hati sekiranya Datuk Misbun Sidek kembali membimbing jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Jurulatih perseorangan negara itu berkata, apa yang dia mahukan adalah yang terbaik buat Chong Wei dalam misi memburu pingat emas buat kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London.

"Saya langsung tidak kecil hati dengan perkara ini. Jika Chong Wei merasakan yang dia mahu Misbun kembali mengambil alih tugas selaku jurulatihnya ataupun bekerjasama dengan saya, saya tidak kisah.

"Selama ini pun saya hanya melaksanakan tugas saya bagi membimbing Chong Wei dalam usaha mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa," kata Seu Bock ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan Chong Wei di Stadium Bukit Kiara semalam.

Sebelum ini, Chong Wei tanpa berselindung mengakui yang dia masih mengharapkan sentuhan bekas 'sifunya', Misbun dalam mempersiapkan diri tatkala tinggal kurang lapan bulan sahaja lagi sebelum Sukan Olimpik 2012 bermula.

Misbun menamatkan kontraknya selama tiga tahun bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 31 Disember tahun lalu apabila menyerahkan surat peletakkan jawatan kepada badan induk badminton negara itu.

Keputusan bekas jaguh perseorangan negara itu dibuat selepas berselisihan faham dengan BAM.

Meskipun BAM telah menawarkan kontraknya baharu buatnya untuk melatih barisan pemain skuad pelapis negara namun Misbun telah menolak tawaran tersebut.

Ketiadaan Misbun, sesi latihan Chong Wei yang merupakan pemain No. 1 dunia kini dikendalikan Seu Bock dan turut dibantu oleh Rashid Sidek dan Hendrwan.

Selain mahu kembali dibimbing Misbun, Chong Wei, 29, juga menyuarakan keinginannya untuk mendapatkan semula khidmat pakar mental, Frederick Tan yang turut bersama-sama Misbun membimbing pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Tambah Seu Bock, dia sentiasa mengalu-alukan kehadiran mana-mana pihak bagi membantunya untuk membimbing Chong Wei termasuk Misbun dan Fred Tan bagi merealisasikan impian rakyat Malaysia untuk menyaksikan jaguh negara itu membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik.

"Memang saya memerlukan beberapa orang lagi jurulatih untuk membantu saya. Namun, bukan mengendalikan program latihan tetapi lebih kepada analisis perlawanan.

"Ketika ini, Rashid dan Hendrawan yang membantu saya menganalisis perlawanan Chong Wei. Saya akan beri mereka rakan video perlawanan dan mereka akan melakukan analisis selepas itu, memberikan saya maklum balas," tambah Seu Bock.

Dalam pada itu, Seu Bock menjelaskan yang dia mempunyai perancangan tersendiri untuk meningkatkan prestasi Chong Wei menjelang Sukan Olimpik tahun depan di samping menyasarkan tiga bulan untuk Chong Wei kembali ke prestasi terbaiknya.

"Bagitupun, buat masa ini latihan mungkin saya akan buat benda yang sama kerana tiada masa, mungkin selepas Terbuka Malaysia ada sedikit perubahan dari segi program latihan semua," jelasnya.