Impian Siti Fatimah hampir jadi nyata


SITI FATIMAH mahu meninggalkan dunia olahraga dan berhasrat menyertai skuad lumba basikal trek negara.


HASRAT atlet pecut wanita, Siti Fatimah Mohamad untuk menyertai skuad basikal trek negara semakin hampir menjadi kenyataan.

Ini kerana, ketua jurulatih basikal trek negara, John Beasley memberikan berita positif berdasarkan ujian yang telah dilakukan ke atas atlet tersebut sebelum ini.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong.

Menurut Zolkples, berdasarkan maklum balas yang diberikan Beasley, jurulatih itu menjelaskan bahawa Siti Fatimah memiliki potensi untuk melangkah lebih jauh dalam acara basikal trek.

"Beasly ada bercakap kepada saya yang Siti Fatimah memiliki semua kriteria yang diperlukan bagi menyertai sebagai seorang pelumba basikal trek. Malah, dia juga mempunyai potensi besar.

"Beasly menganggap jika Siti Fatimah menyertai skuad trek negara, dia akan menjadi pelumba kedua di belakang Fatehah Mustapa, sekali gus memberikannya rakan sepelatih yang baik," kata Zolkples ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.

Sebelum ini, Siti Fatimah yang pernah mewakili negara dalam acara 100 meter, membuat kejutan apabila menyatakan hasrat untuk beralih angin ke acara berbasikal berhubung kemelut yang melanda Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM).

Malah Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) turut menyambut baik hasrat tersebut namun dengan syarat Fatimah mendapat pelepasan daripada KOAM.

Tambah Zolkples, MSN akan memberikan sokongan sepenuhnya terhadap hasrat Siti Fatimah itu.

Malah, bukan sahaja Siti Fatimah, tetapi beliau menjelaskan, pihaknya akan turut memberi sokongan terhadap mana-mana atlet yang ingin menceburkan diri dalam bidang sukan yang lain.

"Dalam kes Siti Fatimah ini, jika Beasley kata boleh, MSN akan memberi sokongan penuh.

"Namun, Siti Fatimah perlu memberi penjelasan kepada KOAM terlebih dahulu memandangkan dia pernah bernaung di bawah badan induk tersebut.

"Saya tidak mahu nanti, bila semuanya berjalan akan ada timbul isu-isu berbangkit dan akan mengeruhkan lagi keadaan," tambah Zolkples.