JPJ Selangor tingkat tahap kecergasan fizikal kakitangan


SEBAHAGIAN daripada kakitangan JPJ Selangor menyertai aktiviti kecergasan fizikal di Stadium JKR Seksyen 17 Shah Alam baru-baru ini.


CERGAS. Seramai 232 pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menyertai aktiviti kecergasan fizikal di Stadium JKR Seksyen 17 Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Aktiviti yang dinamakan Ujian Kecergasan Jasmani Kebangsaan bertujuan mengukur tahap kecergasan setiap pegawai dan anggota penguat kuasa JPJ.

Pengarah JPJ negeri, Yusoff Ayob berkata, pihaknya amat menitikberatkan kecergasan anggota penguat kuasa agar sentiasa mempunyai tahap kecergasan fizikal yang terbaik untuk tugas seharian.

Sehubungan itu, katanya, pelbagai aktiviti sukan dan riadah yang dijalankan sepanjang tahun 2011 telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada semua anggota dan warga kerja JPJ.