Pop Yeh Yeh kembali


SUDAH BERSEDIA. Barisan penyanyi terkenal irama Pop Yeh Yeh akan mengimbau nostalgia muzik mereka di Istana Budaya pada 20 hingga 22 Januari dalam Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh Yeh.


BUAT julung-julung kalinya, setelah 44 tahun, irama Pop Yeh Yeh akan kembali mencuit jiwa penonton setianya apabila Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh Yeh akan dijayakan di Istana Budaya pada 20 hingga 22 Januari ini.

Jika kegemilangan konsert Pop Yeh Yeh ketika tahun 1967 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur masih lagi diingati sehingga kini, memori itu sekali lagi akan dipersembahkan di hadapan peminat Pop Yeh Yeh apabila nama-nama besar irama itu seperti Datuk A. Rahman Hassan, Datuk Jeffrydin, Datuk L. Ramlie, J. Sham, A. Halim dan ramai lagi akan mendendangkan lagu-lagu hit mereka.

“Konsert Pop Yeh Yeh ini sudah dirancang lama. Saya lahirkan idea ini kepada Jeffrydin dan berbincang dengan dia untuk kumpulkan semua penyanyi dan mencari tempat untuk menjayakannya. Akhirnya setelah dua tahun saya berjaya kumpulkan semua penyanyi dan memilih Istana Budaya (IB) sebagai tempat untuk menjayakan konsert ini,” ujar penganjur Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh Yeh, Ghazali Ismail yang juga merupakan Pengarah Urusan Gombak Serumpun Sdn. Bhd.

Lebih mengujakan, kata Ghazali, penyanyi-penyanyi irama Pop Yeh Yeh itu nanti akan mendendangkan lagu-lagu hit mereka bersama dengan ahli-ahli kugiran masing-masing.

Ungkap Ghazali yang sudah melakukan perancangan rapi bagi menjayakan konsert tersebut, Datuk A. Rahman Hassan bersama isterinya, Datin Azizah Muhammad akan mendendangkan empat buah lagu hit mereka seperti Tak Mengapa, Perpaduan Hidup, Semoga Berjaya dan Jejaka Idaman bersama dengan kumpulan Orkes Nirwana.

“Begitu juga dengan Datuk L. Ramlie yang akan tampil bersama kumpulan kugirannya, Orkes Teruna Ria bagi menyampaikan lagu-lagu popularnya seperti Ayahku Kahwin Lagi, Dara Pujaan, Siapa Bilang Aku Tak Sayang dan Seruling Bambu.

“Bukan itu sahaja, melengkapkan lagi konsert itu nanti adalah rangkaian lagu-lagu popular A. Halim bersama dengan D’Fiction, J.Sham bersama dengan The Wanderers, A. Rahman Onn bersama dengan kumpulan The Strangers dan lagu-lagu milik penyanyi Jeffrydin,”katanya teruja menanti debaran konsert itu dilaksanakan kelak.

Harga tiket persembahan dijual dari harga serendah RM40 hingga RM350. Tiket-tiket boleh didapati di Ticket2u.biz atau hubungi talian 03-4147 8600 atau telefon bimbit di talian 012 369 5230.

Ditanya mengenai harga tiket yang dikatakan agak mahal iaitu RM350, menurut Ghazali dia hanya mengikut kadar harga yang telah ditetapkan oleh IB.

“Jika ikutkan kadar sebenar IB ialah harga terendah adalah sebanyak RM60 tetapi atas budi bicara Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani konsert ini tidak terlalu mengikut kadar harga sebenar pentas berprestij itu,”tutur Ghazali lagi.

Sementara itu, menurut Datuk A. Rahman Hassan, irama Pop Yeh Yeh pernah mati suatu ketika dulu apabila lagu era 70-an yang membariskan penyanyi seperti Hail Amir, Uji Rashid dan DJ Dave hadir ke persada seni.

Malah, matinya bukan seketika apabila ia dikatakan selama 15 tahun.

“Saya tidak pernah menyalahkan media apabila irama Pop Yeh Yeh jatuh ketika itu. Sebabnya, pernah suatu ketika media datang membantu kami menghasilkan artikel setiap penyanyi era Pop Yeh Yeh. Saya berterima kasih dan berharap sokongan seperti itu dapat diteruskan lagi,” tuturnya mengharap agar irama Pop Yeh Yeh sentiasa di hati peminat.

Mengulas lanjut, ujar A. Rahman, irama Pop Yeh Yeh yang dibawanya adalah berlainan sama sekali dengan iraman 60-an.

Katanya, irama Pop Yeh Yeh lebih rancak dan bertenaga berbanding irama 60-an yang dibawa oleh artis-artis seperti Allahyarhamah Rafeah Buang dan Datuk Ahmad Jais.

Bercerita mengenai persembahannya pada konsert kugiran itu nanti, kata A. Rahman, dia akan menyanyi bersama isterinya, Datin Azizah Muhammad bersama dengan ahli-ahli kugirannya Orkes Nirwana.

“Mungkin akan ada beberapa kejutan dan pastinya lagu-lagu yang dipilih merupakan lagu popular yang menjadi pilihan peminat Pop Yeh Yeh,” ujarnya lagi.