Koc Eksekutif Nice dilengkapi hiburan info tablet

12/01/2012 7:35pm

KUALA LUMPUR — Konsortium Transnasional Bhd (KTB) menyasar untuk menggandakan keahlian Koc Eksekutif Nicenya kepada 50,000 daripada 25,000 pada masa ini menjelang akhir tahun.

Pengarah dan ketua pegawai operasi KTB, Tengku Hasmadi Tengku Hashim berkata, sasaran itu akan dipacu oleh koc mewahnya yang telah dipasang dengan sistem hiburan info tablet.

"Kami turut berhasrat menggandakan penumpang bulanan kami kepada 60,000 menjelang akhir tahun daripada 30,000 penumpang pada masa ini,” kata beliau kepada pemberita selepas pelancaran sistem hiburan tablet itu di sini hari ini.

Koc Eksekutif Nice ialah syarikat pengangkutan awam pertama yang memasang sistem hiburan canggih bernilai RM20 juta itu di Malaysia.

Menjelang akhir suku pertama tahun ini, sejumlah 45 koc Eksekutif Nice akan dipasang dengan hiburan info BlueICE, diikuti kemudian oleh 150 koc Plusliner dan Transnasional, kata Hasmadi.

Hiburan info tablet dipasang di bahagian belakang setiap tempat duduk, sekali gus membolehkan para penumpang menonton wayang, mendengar muzik, melayari Internet dan membaca berita dan banyak lagi semasa dalam perjalanan.

Kesemua koc dihubungkan kepada perkhidmatan jalur lebar mudah alih dan wifi semasa perjalanan di lebuh raya. — BERNAMA