Pantai Timur diserang Hot FM


PENYAMPAI radio Hotfm mendapat sokongan yang memberangsangkan dari pendengar di Kelantan dan Terengganu.


KINI stesen radio swasta di bawah rangkaian radio Media Prima, Hot FM, bukan sahaja boleh didengar di kawasan Pantai Barat, malah mereka telah pun bersiaran di dua negeri Pantai Timur iaitu Kelantan (105.1) dan Terengganu (105.0) bermula 2 Januari lepas.

Bagi mendekati para pendengar dan peminat stesen radio Hot FM, baru-baru ini, mereka telah mengadakan siri jelajah ke dua negeri itu dengan mengadakan aktiviti menarik sepanjang yang membabitkan penyampai radio dan pendengar mereka.

Diberi nama Yeah Yeah Tour Hot FM T'ganu dan Yeah Yeah Tour Kelate kehadiran mereka telah disambut meriah oleh para peminat yang selama ini menyokong dan meminati stesen radio tersebut. Buktinya, ramai peminat telah membanjiri lokasi Yeah Yeah Tour yang dijalankan di Mydin Mall, Kelantan dan Tesco, Terengganu bagi menyaksikan telatah penyampai-penyampai radio Hot FM seperti Fara Fauzana, AG, FBI, Leya dan ramai lagi serta penyampai baharu Hot FM pada 6 dan 7 Januari lalu.

Antara acara menarik yang diadakan di dua lokasi tersebut ialah kayuhan Fixie Bike sejauh 12 kilometer bersama penyampai dan peminat serta persembahan daripada artis-artis tempatan seperti Rahmat Mega, Adam & The Vip serta Black.

Apa yang menariknya, penyampai radio baharu Hot FM ini bukanlah daripada kalangan selebriti, namun ia dipilih dari kalangan masyarakat Pantai Timur sendiri yang mempunyai bakat serta boleh berdialek dalam 'bahasa kampung' mereka.

Namun, bagi stesen radio baharu, Hot FM perlu bersaing dengan stesen yang telah sedia ada di kedua negeri tersebut bagi memancing pendengar.


MARI KAYUH! Mungkin itu yang dilaungkan penyampai radio Hot FM kepada pendengar yang turut serta berbasikal dengan mereka sejauh 12 kilometer di Kelantan.


"Bagi saya, persaingan terdapat di mana-mana, biar di Pantai Barat mahupun Pantai Timur. Namun, jika kami mahu lakukan di sini, perlu lebih usaha kerana jika sudah masuk di pasaran tempatan, perlu betul-betul dekat di hati pendengar dan masyarakat.

"Pendekatan kami di sini ialah aktiviti komuniti dan kerana itu kita wujudkan satu jawatan baharu iaitu Eksekutif Komuniti. Ini kerana kami mahu pastikan kami sangat dekat dengan pendengar. Dan jika mahu cakap tentang bersaing, ini adalah suatu persaingan yang sihat dan bagus. Mungkin selepas ini, orang ramai akan lebih menghargai industri radio," jelas Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul tentang frekuensi baharu ini.

Tambahnya lagi, oleh sebab itu juga, penyampai yang dipilih adalah daripada kalangan mereka yang memang orang biasa yang dekat dengan masyarakat. Ini kerana supaya mereka lebih releven dengan masyarakat setempat.

Bagi penyampai pula, mereka akan menggunakan bahasa yang kebanyakan masyarakat akan bercakap apabila melepak atau lebih kepada bahasa santai dan bukannya terlalu pekat. Jadi, apabila masyarakat berubah, strategi dan aktiviti Hot FM juga akan berubah mengikut majoriti komuniti di Kelantan dan Terengganu.

Bercakap mengenai pengisian di Kelantan dan Terengganu, ujar Seelan jika diperhatikan dengan lebih dalam, muzik yang didengar oleh masyarakat Kelatan dan Terengganu adalah berbeza.


BERGABUNG. Dari kiri berdiri: Faizal Ismail, Fizie, Renny, Chad, Suraya, Shaz, Fara Fauzana. Duduk dari kiri: Farid, Deen, AG dan Ikhwan.


"Memang warga Kelantan dan Terengganu mempunyai minat muzik yang berbeza. Jadi pengisian muzik kedua negeri ini adalah berbeza. Kami selalu akan berbalik kepada kajian dan bukannya apa yang kami sendiri mahu. Dan kami akan pastikan kajian adalah asas bagi kami dalam membuat keputusan," ujar Seelan yang juga mengatakan kajian akan dijalankan dalam tempoh 6 bulan sekali kerana ingin mengikut selera masyarakat.

Lapan orang penyampai radio telah dipilih melalui ujibakat yang telah diadakan oleh pihak Hot FM tahun lepas.

Penyampai radio di Terengganu ialah Mohd Rafly Rahamat (Rafly), Ahmad Zulhilmie Zainal (Zul), Mohd Hermansani Aminudin (Bell), Muhammad Azri Ismail (Azri) dan Nurul Ain Omar (Ain).

Di Kelantan pula, Shazwani Mohamad Shakeri (Shaz), Syed Mohd Farid Mohd Noor (Farid), Mohamad Hafizie Roslan (Fizie), Wan Zuraini Wan Hasan (Rennie) serta Mohd Izzul Nazmi Mazri (Izzul).

Selain Hot FM, pendengar di Kelantan terlebih dahulu dapat mendengar saluran radio Manis FM, Kelantan FM dan THR Gegar edisi Pantai Timur. Di Terengganu pula Manis FM, Terengganu FM dan THR Gegar Edisi Pantai Timur.