Sofarz sentuhan KRU


ZIMI (dua dari kiri) bersama anggota Sofarz yang lain sempat memberikan pose biarpun sibuk menjalani penggambaran video muzik lagu Pencinta Terbaik di KRU Studios, Cyberjaya baru-baru ini.


PENGGAMBARAN muzik video lagu terbaharu kumpulan Sofarz, Pencinta Terbaik telah berlangsung baru-baru ini di Studio B KRU Studios, Cyberjaya.

Lagu yang dicipta sepenuhnya oleh komposer Edry Abdul Halim ini juga adalah merupakan lagu tema filem kesepuluh terbitan KRU Studios, Cinta Kura-Kura.

Cinta Kura-Kura merupakan filem fantasi komedi yang menampilkan watak animasi 3D seperti peneraju Smurf dan Garfield yang bakal ditayangkan di pawagam pada 1 Mac 2012.

CST Production tampil sebagai salah sebuah produksi tempatan yang telah diberikan kepercayaan sepenuhnya oleh KRU Studios untuk melaksanakan kerja-kerja penggambaran muzik video tersebut.

Muzik video arahan Al Fahim Mokhtar ini diberi sentuhan elemen-elemen keceriaan warna. Ini adalah bertujuan untuk memastikan konsep muzik video ini selari dengan elemen lakaran kertas yang terdapat di dalam filem fantasi komedi tersebut.

KRU Studios sudah lama mengikuti perkembangan Sofarz dan gembira dapat bekerjasama melalui lagu Pencinta Terbaik.

Lagu ini sememangnya memerlukan sentuhan live band dan Sofarz bukan sahaja dilihat sebagai pilihan yang tepat, malah mampu membawa lagu ini dengan baik.

"Lagu tema untuk filem bukan sesuatu yang baharu buat kami, tetapi sudah menjadi tradisi KRU merangkul banyak kejayaan melalui lagu tema dan antaranya seperti Sedetik Lebih ( lagu tema filem Hikayat Merong Mahawangsa), Penyembuh Rindu (Magika) dan banyak lagi" kata Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim.

Sofarz yang membawakan jalur muzik freepop itu turut dibarisi oleh Ameer atau nama sebenarnya , 4.Amir Mahiyidin, Shah (Wan Shahbaharin Niktah), Rodie (Rodie jamun), One (Wan Shah Baharom Niktah) dan Fairuz, (Ahmad Fairouz Mohamad). Mereka berbesar hati kerana mendapat kepercayaan sepenuhnya Edry dan terpilih sebagai penyanyi yang menyanyikan lagu Pencinta Terbaik.

"Pada awalnya, kami hanya diberikan sebuah demo untuk diperdengarkan. Selepas mendengar demo tersebut, kami sepakat dan membuat keputusan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada KRU Studios memandangkan sebelum ini kami belum pernah bekerjasama dengan Edry dan peluang yang muncul sekarang harus digunakan sebaiknya," ujar Zimi.

Tambahnya: "Edry merupakan seorang komposer yang mempunyai kreativiti tersendiri, memahami tahap dan keperluan seorang artis di dalam berkarya. Kami juga yakin lagu yang sudah pun mula dimainkan di corong-corong radio tempatan ini mampu menarik minat ramai terutamanya golongan remaja."

Menurutnya lagi, penggambaran muzik video lagu Pencinta Terbaik yang mengambil masa lapan jam ini akan melalui proses suntingan terlebih dahulu.

"Muzik video ini dijadualkan siap sepenuhnya dan akan dipertontonkan kepada umum pada awal bulan Februari sempena promosi filem Cinta Kura-Kura," ujarnya.

Bagi maklumat lanjut, boleh layari laman web www.krustudios.com atau Facebook serta YouTube Cinta Kura-Kura.