Manuskrip Melayu dalam format digital

26/01/2012 7:56pm

KUALA LUMPUR — Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah memindahkan sebanyak 2,000 naskhah Manuskrip Melayu yang ditulis dalam skrip jawi klasik berusia ratusan tahun ke dalam bentuk digital agar ia boleh diakses lebih mudah dan pantas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Raslin Abu Bakar berkata, ia adalah sebahagian transformasi dan usaha PNM untuk menarik minat orang ramai terhadap penulisan jawi klasik khususnya di kalangan generasi muda.

"Perpustakaan Negara mempunyai kira-kira 4,600 naskhah manuskrip Melayu sejak tahun 1985 sehingga sekarang dan sebahagian daripada jumlah itu masih dalam proses pemindahan dalam format digital.

"Pada masa yang sama manuskrip asal, pihak kami masih simpan dengan rapi kerana ia merupakan sebahagian daripada warisan negara,” katanya dalam sidang media selepas program Wacana Manuskrip Melayu di PNM di sini hari ini.

Program itu melibatkan perbincangan dan pembentangan kertas kerja berhubung ”Aset Ilmu Rumpun Melayu” oleh Siti Mariani S.M Omar dan ”Kitab Tib” (Ilmu Perubatan Melayu) oleh Dr Harun Mat Piah. — BERNAMA