Seni rekaan Fazo


WALAUPUN nampak sedikit pelik, jenama dan rekaan ini semakin mendapat perhatian.


BERMULA agak perlahan pada awal pembelajarannya dalam jurusan fesyen, Nik Faizol Nik [email protected] Lah, 27, mengambil masa selama setahun bagi memahirkan diri dalam asas jahitan.

Selepas menggenggam diploma dalam jurusan seni halus, Faizol bersama jenamanya, Fazosinn berganjak sedikit daripada kemahiran asalnya dengan menyambung ijazah sarjana muda fesyen.

Lulusan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor itu kini mampu berbangga dengan pencapaian dirinya sepanjang bergelar pelajar fesyen.

“Pada awalnya memang tiada asas dalam fesyen. Lama-kelamaan, kecintaan terhadap kerjaya sebagai pereka fesyen kian kuat dalam diri.

“Melihatkan peluang dalam industri fesyen lebih terbuka luas, saya tekad memilih lapangan ini sebagai kerjaya tetap.

“Sebagai permulaan, saya telah bekerjasama dengan sahabat saya, Brisyam Mahadi yang juga sedang mencari tapak dalam industri dengan membuka butik dalam talian.

“Alhamdulillah, kini sudah hampir setahun butik kami itu beroperasi dan penerimaan orang ramai juga positif,” jelasnya yang pernah menyertai pertandingan Piala Seri Endon pada Ogos tahun lalu.

Butik dalam talian yang menggunakan nama brisyamfazo itu merupakan kombinasi idea rekaan Fazo dan Brisyam serta ia mengutamakan rekaan busana pengantin.

Giat berusaha

Perancangan menaikkan jenama tersebut sudah sedia terpasang dalam minda Fazo. Baginya, untuk berjaya dalam industri fesyen, seseorang pereka itu perlu sabar dan tidak putus-putus berusaha.

Secara peribadi pula, Fazo merupakan seorang pereka muda yang menggemari rekaan berkonsepkan art to wear yang bermaksud rekaan yang dikategorikan sedikit pelik tetapi masih sesuai dipakai untuk sebarang acara.


KONSEP wearable art menjadi signatur Nik Faizol.


“Sepanjang menuntut dalam program ijazah, kami banyak didedahkan dengan pelbagai ilmu dan saya pula jenis yang suka bereksperimen. Disebabkan itu, kebanyakan rekaan saya tampak agak pelik, namun masih logik untuk dipakai.

“Mungkin selepas ini saya akan lebih menumpukan kepada rekaan sedia pakai dan berharap hasil kerja saya dapat diterima serta mampu dikomersialkan sehingga ke peringkat antarabangsa,” jelas Fazo yang mengangkat jenama Chanel sebagai idola antarabangsanya.

Lebih membanggakan anak muda dari Kelantan itu adalah apabila rekaannya dipilih pensyarah untuk disarungkan pada tubuh badan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

“Ketika itu Siti hadir ke UiTM Shah Alam bagi menyempurnakan pelancaran produk kecantikannya, SimplySiti. Saat diberitahu pensyarah tentang hal itu, saya memang gembira tidak terkata.

“Melihat Siti menyarungkan rekaan saya ibarat impian jadi kenyataan dan saya berharap selepas ini akan lebih ramai artis-artis tempatan yang sudi menyarungkan rekaan saya,” cerita Fazo yang juga pernah menyertai program realiti Gaya Pesona yang disiarkan di TV2 tidak lama dahulu.