Dalglish puji Liverpool


CARROLL (dua dari kiri) diraikan rakan-rakan sepasukannya selepas meledak gol pertama Liverpool ketika menentang Wolves di Stadium Molineux awal pagi semalam.


WOLVERHAMPTON - Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish memuji sikap profesional yang dipamerkan barisan pemainnya selepas berjaya merekodkan kemenangan pertama dalam saingan Liga Perdana England bagi tahun 2012.

Awal pagi semalam, skuad The Reds itu melakar kemenangan bergaya 3-0 ke atas Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux.

Tiga gol menerusi jaringan Andy Carroll pada minit ke-52, Craig Bellamy (61) dan Dirk Kuyt (78) sudah cukup buat The Reds melonjak ke tangga kelima liga dengan mengumpul 38 mata, empat mata di belakang Chelsea yang menghuni tangga keempat.

Kemenangan ke atas Wolves menjadi minggu yang sempurna buat Dalglish dan anak-anak buahnya selepas kejayaan menewaskan Manchester City pada aksi separuh akhir Piala Liga, diikuti dengan menundukkan Manchester United pada aksi pusingan keempat Piala FA Sabtu lalu.

Sebelum ini, anak-anak buah Dalgslih bergelut dengan prestasi tidak menentu mereka apabila hanya mampu mengutip satu mata daripada tiga perlawanan terakhir termasuk ketika tewas mengejut kepada Bolton Wanderers dua minggu lalu.

Situasi itu menyebabkan Dalglish buat pertama kali lantang mengkritik barisan pemainnya.

Bagaimanapun, kemenangan yang dicipta awal pagi semalam menyaksikan Dalglish kembali memuji rentak permainan yang ditampilkan anak-anak buahnya.

"Saya fikir pemain-pemain telah menunjukkan sikap yang profesional. Persembahan mereka cukup berkualiti dan ia merupakan reaksi menakjubkan di atas dua kemenangan sebelum ini.

"Perlawanan ini sangat penting dan pemain-pemain telah beraksi dengan baik. Mereka memang berhak dengan kemenangan ini.

"Saya rasa pemain-pemain wajar diberikan kredit di atas rasa hormat mereka terhadap Wolverhampton.

"Biarpun kami telah mendahului tiga gol, pemain-pemain tidak sesekali memperkecilkan pemain-pemain Wolverhampton," kata Dalglish.

Dalam pada itu, Dalglish turut memuji aksi yang dipamerkan Bellamy.

Ini kerana, pemain antarabangsa Wales itu telah merekodkan enam gol dalam 10 perlawanan terakhir buat The Reds. - AFP