Kuasa slogan 'Malaysia Boleh'


DR. MAHATHIR menjawab soalan peserta sambil ditemani Ahmad Shabery (kiri) pada program Bicara Minda Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Slogan 'Malaysia Boleh' yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berjaya mengubah landskap arena sukan negara sehingga memberi keyakinan tinggi kepada para atlet untuk bertanding pada kejohanan antarabangsa.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menganggap slogan berkenaan merupakan ciptaan terulung yang mengikis pandangan dan persepsi orang luar bahawa Malaysia adalah negara kampung.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kejayaan demi kejayaan yang diperoleh atlet negara berpunca daripada semangat dan iltizam tinggi yang ditanam kepada mereka supaya lebih bermotivasi dan tampil tanpa rasa gementar.

Menyifatkan Dr. Mahathir, 86, sebagai bapa kepada penciptaan semula Malaysia, ujarnya, negarawan ulung tersebut berjaya melakukan transformasi besar dalam pelbagai aspek ekonomi, budaya dan sosial sehingga dihormati oleh negara asing.

"Laungan keramat 'Malaysia Boleh' menyuntik keyakinan kepada semua rakyat termasuk para atlet yang tampil dengan prestasi yang membanggakan. Indonesia sendiri meniru slogan ini.

"Perjuangan yang dibawa oleh Dr. Mahathir harus diteruskan oleh generasi belia hari ini sebagai usaha mengekalkan dan menambah momentum pembangunan negara," katanya ketika berucap pada program Bicara Minda Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.