Bermula dengan mainan Star Wars




KUNJUNGAN ke Muzium Mainan Melaka yang terletak di Jalan Penghulu Abbas, Bukit Baru di Melaka mampu membuatkan kanak-kanak lebih menghargai dan menyayangi barang mainan mereka.

Muzium itu menempatkan sebanyak 10,000 pelbagai jenis mainan yang disusun rapi di dalam tujuh ruang pameran.

Antara koleksi mainan yang terdapat di muzium itu ialah patung watak dan kelengkapan dari filem Superman, Hellboy, Spawn, Six Million Dollar Man, Iron Man, Transformers, Avatar dan Freddy Krueger.

Dengan slogan Sayangkan Mainan Kita Untuk Dinikmati Semua, muzium itu mampu membuka minda kanak-kanak untuk menjaga barang mainan mereka dengan baik.

Pemilik muzium, George Ang, 45, berkata, lawatan ke muzium itu mampu merangsang pemikiran kanak-kanak dengan melihat barang mainan dari sudut berbeza.

"Mereka boleh menggunakan imaginasi untuk mewujudkan suatu situasi pada mainan mereka," katanya.

Katanya, kanak-kanak yang mengunjungi muzium itu pada mulanya pasti teruja dan ingin menyentuh dan mengambil mainan yang dipamerkan. Namun, dengan perhatian dan penerangan oleh ibu bapa, mereka akan mula menghargai dan mengagumi mainan berkenaan.

Nilai tinggi

Menurut George, dia sendiri sering memberi nasihat kepada pengunjung kanak-kanak agar menjaga mainan mereka supaya sentiasa berkeadaan baik dan dapat digunakan untuk satu tempoh yang lebih lama.

"Jika sesuatu mainan itu unik dan sukar diperoleh, ia mempunyai nilai yang tinggi pada masa depan dan boleh membawa keuntungan kepada pemiliknya," tambahnya.

Mengimbas kembali mengenai penubuhan muzium itu, George berkata, ia bermula dengan minatnya pada filem Star Wars yang menjadi fenomena sejak ditayangkan pada 25 Mei 1977.

Bagaimanapun keluarga George tidak mampu membeli barang mainan watak daripada filem itu untuknya.

Katanya, selepas memperoleh pekerjaan di sebuah syarikat pengiklanan di Kuala Lumpur lebih 20 tahun lalu, dia mula mengumpul mainan watak dari filem Star Wars serta filem lain untuk dijadikan koleksi.

"Memang tidak terlintas dalam fikiran saya pada masa itu untuk membuka sebuah muzium khusus untuk mainan tetapi saya memang menjaga mainan-mainan ini dengan baik kerana ia hasil titik peluh saya," kata bapa kepada tiga orang anak itu.

George yang kini menetap di Melaka berkata, kesemua barang mainan itu pada mulanya disimpan di dalam bilik stor rumahnya sehingga tidak lagi mempunyai ruang untuk koleksi baharu.

Menurut George, keluarga dan rakan kemudian mencadangkan agar dia mewujudkan sebuah muzium khas untuk semua mainan itu yang akhirnya membawa kepada pembukaan muzium mainan di sebuah premis di Jonker Walk pada tahun 2009 sebelum berpindah ke Jalan Penghulu Abbas pada Ogos tahun lepas.

Katanya koleksi mainan di muzium itu kebanyakan dibeli di kedai permainan di ibu negara dan Melaka selain belian secara talian dan sumbangan orang ramai.

Cabaran

Pembukaan muzium istimewa di Melaka itu menjadikannya muzium yang kedua seumpamanya di negara ini selepas Pulau Pinang.

Biarpun pada awalnya dia berdepan dengan masalah kewangan untuk mengekalkan operasi dan juga kekurangan koleksi mainan, George tidak berputus asa.

Galakan dan sokongan keluarga dan rakan-rakan membuatkannya mampu bertahan sehingga sekarang.

"Paling menguatkan keazaman saya ialah apabila melihat kanak-kanak dan keluarga mereka gembira apabila datang ke muzium ini," katanya.

Malah katanya, terdapat pengunjung termasuk daripada luar negara yang turut mempunyai minat mengumpul mainan, sanggup menyumbangkan koleksi peribadi mereka untuk dipamerkan.