Aaron mangsa fitnah internet


AARON AZIZ kecewa apabila nama sebenar dirinya sengaja dijadikan isu kontroversi oleh pihak tidak bertanggungjawab.


KELMARIN hari yang cukup kecoh buat aktor popular Aaron Aziz, 36, apabila sebuah portal hiburan menyiarkan kad pengenalan Singapura yang didakwa miliknya.

Apa yang mengecewakan hero filem Ombak Rindu dan KL Gangster itu, nama yang tertera pada kad pengenalan rekaan sendiri itu tertera nama Mat Haron Mustapha Mat Aziz Mustafa yang didakwa merupakan nama sebenar Aaron.

Sejak kad pengenalan itu tersebar di Internet, Aaron didakwa menipu para peminatnya dengan menggunakan nama glamor Aaron Aziz.

Persoalannya apakah nama sebenar Aaron?

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Aaron yang kini sedang menjalani penggambaran drama 80 episod berjudul Adam & Hawa terbitan Global Station bagi menghurai persoalan tersebut.

Kosmo!: Sejak bila Aaron tahu kad pengenalan yang menggunakan gambar dan nama Mat Haron Mustapha itu tersebar di Internet?

Aaron: Saya mula dapat tahu pada pukul 4 pagi pada 2 April lalu. Ketika itu isteri saya sedang melayari Internet. Saya memang sangat terkejut sebab gambar yang digunakan adalah wajah saya tetapi nama yang digunakan sememangnya bukan nama saya.

Apa yang bermain pada fikiran Aaron saat pertama kali melihat kad pengenalan tersebut?

Saya fikir apa tujuan orang yang buat kad pengenalan palsu ini. Mulanya saya ingat dia guna kad pengenalan tersebut untuk buat pinjaman bank, tetapi bila lihat nama yang tertera bukan nama saya, saya rasa lega. Kedua, saya rasa memang orang yang buat kad pengenalan itu tiada kerja dan sengaja cari kerja.

Jadi apa nama sebenar Aaron?

Saya rasa ramai sudah tahu nama sebenar saya ialah Aaron Mustapha Aziz bukannya Mat Haron Mustapha Mat Aziz Mustafa. Saya sekarang dalam proses untuk dapatkan status penduduk tetap di Malaysia, jika tidak percaya, boleh periksa dengan jabatan yang berkaitan tentang nama asli saya ini.

Aaron dituduh menipu peminat apabila kad pengenalan rekaan itu tersebar di Internet, komen?

Saya sedar ramai yang ingat nama Aaron Aziz adalah nama glamor, tetapi itu memang nama sebenar saya. Kalau saya dilahirkan dengan nama lain, saya tetap akan gunakan nama sebenar walaupun apa sahaja bunyi nama itu. Saya tidak menipu peminat dengan nama saya.

Bagi Aaron adakah nama yang komersial dan sedap bunyinya penting buat seorang artis?

Mungkin setiap artis ada sebab tertentu jika mereka menggunakan nama komersial dan bukannya nama sebenar. Apa yang saya lihat mereka mahu privasi diri terjaga. Jika ramai tahu mungkin orang akan guna untuk perkara yang tidak baik seperti membuat pinjaman bank tanpa pengetahuan artis itu. Artis yang sengaja guna nama komersial, bagi saya tidak salah. Ia terpulang kepada diri sendiri jika mereka lebih selesa dan yakin menggunakan nama lain.

Selain nama, dengar cerita Aaron mendapat kontrak bernilai RM11.5 juta setahun untuk menjadi duta sebuah produk minuman. Benarkah?

Tidak benar sama sekali. Saya sekarang menjadi duta produk minuman Drive M7, mana boleh dalam masa yang sama saya menjadi duta produk minuman yang lain. Jika ada, Alhamdulillah, tetapi memang saya tidak pernah menandatangani mana-mana produk minuman yang lain selain Drive M7.