Baitul Hilal miliki teleskop tercanggih di Asia Tenggara

17/04/2012 12:06pm

PORT DICKSON — Balai cerap di Kompleks Baitul Hilal, Teluk Kemang di sini yang mula beroperasi bulan lepas, bakal menjadi daya tarikan terbaru pusat peranginan Port Dickson.

Memiliki teleskop tercanggih di Asia Tenggara serta terbesar di Malaysia bernilai RM1.8 juta, balai cerap itu menjadi pusat kegiatan melihat anak bulan, kajian bintang dan sistem cakerawala bagi menjana kemajuan ilmu falak.

"Balai cerap ini juga satu usaha meningkatkan kesedaran dalam bidang astronomi pada kalangan pelajar dan orang ramai,” kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan, Datuk Mohammad Razi Kail kepada pemberita, di sini hari ini.

Antara kemudahan yang terdapat di balai cerap setinggi dua tingkat itu ialah dewan yang boleh menampung 200 orang, surau dan bilik kuliah serta galeri yang menempatkan bahan sejarah berkaitan cerapan dan astronomi dalam Islam.

Pengurusan balai cerap ini dilakukan secara usahasama antara Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan Universiti Malaya (UM), kata Mohammad Razi.

Selain balai cerap, Kompleks Baitul Hilal yang terletak di atas kawasan seluas 1.2 hektar itu turut menempatkan sebuah hotel.

Projek pembinaan balai cerap dan hotel tersebut merupakan usahasama antara Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) yang merupakan pemilik tanah.— BERNAMA