Tuah Sura Sojangi, kelangsungan hidup Reen


Pemenang tempat kedua Hakim Yazid, juara Reen Rahim dan pemenang tempat ketiga, Marina Jose, berkongsi kegembiraan bersama teman-teman lain sebaik tamat final Pilih Kasih baru-baru ini.


PENTAS akhir Pilih Kasih musim ketiga sudah melabuhkan tirainya pada hari Ahad lalu. Jika pada musim pertama dan kedua Pilih Kasih dulu kemenangan juaranya tidak dijangka, sebaliknya untuk musim ketiga ini ramai yang dapat menjangka Reen Rahim, 24, bakal menjuarai program yang menggunakan format 50 peratus undian peminat dan selebihnya pula melalui undian Rosyam Nor selaku Penerbit Eksekutif program Pilih Kasih.

Buktinya, Reen sering menerima undian yang tinggi saban minggu daripada peminat, malah dia juga tidak pernah berada dalam kelompok kedudukan tiga peserta terendah.

Melalui kemenangannya itu, Reen membawa pulang hadiah secara keseluruhan bernilai RM200,000 seperti wang tunai sebanyak RM10,000 berserta trofi sumbangan Pilih Kasih dan Telekom (TM), sijil simpanan premium bernilai RM25,000 sumbangan Bank Simpanan Nasional dan set barangan kemas bernilai RM12,000 sumbangan U Diamond Gems and Jewellery.

Bukan itu sahaja, dia turut menerima wang tunai RM5,000 dan baucer barangan bernilai RM5,000 sumbangan Alfio Raldo, lima set barangan kesihatan dan kecantikan bernilai RM3,500 sumbangan Zell V, baucer penginapan tiga hari dua malam untuk dua orang di Bali, sumbangan Holiday Villa Beach Resort & Spa dan dua set wangian semburan badan serta barangan penjagaan kulit Indulge London sumbangan Virginia Corporation Sdn. Bhd.

Saingan sengit

Mengulas mengenai kemenangannya itu, Reen mengakui dia hanya menjangkakan berada pada tempat kedua atau ketiga.

“Jujurnya saya tidak sangka dinobatkan sebagai juara kerana bila berada dalam peringkat akhir, semuanya menunjukkan kesungguhan dan saingan sengit sehingga melayakkan mereka bergelar juara. Namun nasib lebih berpihak kepada saya kerana dipilih oleh penonton dan abang Rosyam sendiri,” ujarnya yang terharu dengan kemenangannya itu selepas ditemui pada sidang akhbar malam akhir Pilih Kasih musim ketiga yang berlangsung di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Negeri Sembilan.

Sementara itu, tempat kedua dan ketiga Pilih Kasih pula diraih oleh Hakim Yazid, 26, dan Marina Jose, 23.

Pelakon Terbaik pilihan TM dan Rosyam Nor pula dimenangi oleh Sura Sojangi, 22.

Apa yang menjadi persoalan adalah kemenangan Pelakon Terbaik yang merupakan pilihan TM dan Rosyam itu membolehkan Sura menjadi Duta Telekom sekali gus mencipta nama dan meraih tawaran berlakon. Sebaliknya, juara Pilih Kasih pula perlu merangkak untuk mencari peluang mendapatkan tawaran kerja bagi mencipta nama dalam industri seni.

Menjawab persoalan itu, Rosyam memberitahu program Pilih Kasih tidak menjanjikan apa-apa kepada pemenang untuk terlibat dalam industri seni.

“Cuma Sura bertuah kerana dipilih oleh Telekom sekali gus dapat berlakon dalam iklan Telekom dan mengikut apa jua perancangan daripada syarikat itu selepas ini.

“Namun begitu, tidak bermakna setiap pemenang boleh mencipta nama dalam industri seni dengan mudah. Kadangkala peserta yang tidak menang atau yang pernah tersingkir juga memperoleh peluang berada dalam industri seni seterusnya membolehkan mereka mencipta nama,” ulasnya.

Memasarkan diri

Mengulas lanjut, kata Rosyam lagi, dia memberikan tempoh dua atau tiga tahun untuk pemenang Pilih Kasih mengukir nama.

“Kami telah menyalurkan segalanya kepada mereka. Bukan sahaja asas lakonan tetapi juga bagaimana untuk memasarkan diri. Bila sudah keluar nanti, saya mahu mereka berjaya mengikut acuan mereka sendiri. Duit yang mereka peroleh daripada kemenangan ini diharap dapat digunakan sebaiknya untuk mempersiapkan diri mereka pada masa akan datang dalam industri seni,” ujar Rosyam lagi.

Para pemenang turut diajukan soalan sama ada mereka akan menyalahkan Rosyam jika tidak dapat mencipta nama dalam industri seni seperti yang berlaku kepada pemenang-pemenang Pilih Kasih musim pertama dan kedua dahulu.

Menurut Hakim Yazid, dia tidak akan menyalahkan Rosyam sebaliknya mempersiapkan diri dan menentukan strategi pemasaran untuk menonjolkan diri seterusnya memperoleh tawaran lakonan.

Bagi Marina Jose pula, dia akan memperbaiki kelemahan diri dan terus belajar untuk menjadi seorang pelakon yang lebih baik.

Sebaliknya bagi Sura, Pilih Kasih sekadar platform untuk belajar berlakon. Diri sendiri yang perlu menentukan hala tuju seterusnya dan dalam masa yang sama menggunakan pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh untuk bertapak dalam industri seni.

Reen memberitahu dia akan berdikari dan tidak menaruh harapan kepada Rosyam untuk memberinya tawaran lakonan walaupun dia dipilih oleh peminat dan Rosyam sendiri sebagai juara.

Pilih Kasih musim ketiga yang juga musim terakhir itu merupakan sebuah program realiti mencari bakat baharu dalam bidang lakonan terbitan Radio Televisyen Malaysia dan syarikat milik Rosyam Nor, Suhan Movie yang ke udara di TV2 sejak 11 minggu yang lalu.