Muzikal Hoore! Hoore! untuk Sudirman


ALLAHYARHAM Sudirman Haji Arshad menjadi inspirasi pengarah filem muzikal Hoore! Hoore!, Saw Teong Hin untuk membikin filem muzikal tersebut.


PENGALAMAN pernah ditolak oleh beberapa orang penerbit, tidak menghalang semangat pengarah Saw Teong Hin untuk terus melaksanakan hasratnya mengarah sebuah filem berbentuk muzikal.

Walaupun sedar genre muzikal masih sukar untuk diterima oleh penonton Malaysia yang cukup kenyang dengan genre komedi dan seram, Saw Teong Hin tetap mengambil risiko.

“Saya mendapat inspirasi untuk mengarahkan filem ini apabila saya menonton filem High School Musical dan juga Mamma Mia!. Selepas menonton, tercetus dalam hati saya mengapa Malaysia tidak menghasilkan filem sedemikian.

“Kalau mahu diikutkan, kita mempunyai banyak lagu yang sedap dan kekal popular sehingga ke hari ini untuk digunakan dalam filem. Bertitik-tolak daripada itu, saya terpanggil untuk menghasilkan sebuah filem muzikal dengan mengangkat karya nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

“Sudirman seorang penghibur yang hebat, kreatif, berani dan berjiwa besar. Dia satu-satunya penghibur yang dikagumi semua kaum di negara ini. Saya juga peminatnya,” jelas pengarah filem Hoore! Hoore! itu panjang lebar mengenai projek filem muzikal sulungnya itu.

Sedar risiko besar yang dihadapinya terutama bajet yang tinggi diperlukan untuk membikin sebuah filem muzikal, pengarah yang pernah mengarah filem Puteri Gunung Ledang itu kekal optimis.

“Inspirasi sebenar datangnya daripada kata-kata Allahyarham iaitu kenapa kita harus meletakkan pagar mengelilingi kita. Maksudnya, kenapa kita perlu menyekat diri kita untuk melakukan perubahan.

“Saya tidak kisah kalau ada yang mendakwa pembikinan filem ini kerana mahu menumpang populariti Sudirman kerana saya menghasilkan filem ini sebagai penghargaan buat beliau.

“Karyanya disimpan sebagai sejarah negara yang perlu dipelihara dan dikenang oleh generasi muda lebih penting daripada kutipan pecah panggung. Tetapi kalau filem ini mendapat kutipan pecah panggung, ia satu bonus buat saya dan penerbit, Astro Shaw Sdn. Bhd.,” ucapnya.

Bukan itu sahaja, Saw Teong Hin juga mengambil risiko apabila mempertaruhkan bakat baharu sebagai peneraju utama filem Hoore! Hoore!.

Pelakon baharu, Farah Nazirah pertama kali bergelar pelakon selepas dia terpilih untuk membawakan watak Nurul Iman bergandingan dengan penyanyi Akim.

“Saya tidak sangka akan terpilih dalam uji bakat kerana saya pergi sekadar suka-suka. Sebenarnya saya suka menyanyi tetapi tidak sangka iklan di Facebook menarik saya untuk menjadi pelakon,” ujarnya.


BARISAN pelakon filem muzikal Hoore! Hoore! yang merupakan muka-muka baharu, (dari kiri), Farah Nazirah, Shahila Shariff, Syafiqah Md. Jemey, Afi Faris dan Nur Syazwana hadir pada majlis pelancaran runut bunyi filem tersebut di Red Box, The Garden, Kuala Lumpur pada minggu lalu.


Farah yang merupakan gadis bertudung sudah bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan apabila dalam filem Hoore! Hoore! dia muncul tanpa mengenakan tudungnya.

“Ketika penggambaran berjalan, saya sebenarnya baru belajar pakai tudung, tetapi sekarang saya sudah pakai tudung sepenuhnya. Saya tidak boleh ubah apa yang telah saya lakukan sebelum ini untuk filem Hoore! Hoore!, sebaliknya apa yang boleh saya buat sudah tentu menjaga imej yang saya miliki sekarang,” luahnya.

Sebanyak 12 buah lagu Allahyarham Sudirman yang dirakamkan semula dalam filem ini. Selain Akim dan Farah Nazirah, filem ini turut dibintangi Adibah Noor, Shahronizam Noor, Harun Salim Bachik dan Fauziah Nawi.

Hoore! Hoore! bakal ditayangkan pada 24 Mei ini, sehari sebelum hari memperingati ulang tahun kelahiran Allahyarham Sudirman pada 25 Mei 1954.

Sempena kemunculan filem berkenaan, Astro Shaw dengan kerjasama pusat karaoke terkenal Red Box bakal mengadakan Pertandingan Karaoke Hoore! Hoore! di tiga lokasi berasingan bermula 13 Mei depan.

Ia akan diadakan di Green Box Seremban 2 pada 13 Mei, Green Box Bukit Tinggi Klang (20 Mei) dan Red Box Ria Sogo (27 Mei).

Pada majlis yang sama, video muzik lagu Idola dendangan Azlan & The Typewriter yang dipilih sebagai lagu runut bunyi filem tersebut, Hoore! Hoore! juga telah dilancarkan.

Lagu ciptaan Audi Mok itu mempertaruhkan lirik nukilan Azlan sendiri yang menjadikan Sudirman sebagai inspirasi dalam penulisannya mengambil masa selama empat bulan untuk disiapkan.

“Saya mengambil masa empat bulan untuk menyiapkan lirik lagu itu. Saya menonton filem lakonan Allahyarham seperti Kami dan mendengar semula lagu-lagunya.

“Bukan apa, saya bimbang jika saya tidak terikat dengan inspirasi itu, lagu saya akan mengikut kepala saya sendiri sedangkan lagu ini dicipta khas untuk filem Hoore! Hoore!,” kata Azlan.