Resort lihat anak bulan


LALUAN pejalan kaki di Pantai Teluk Kemang dan Pantai Seri Purnama pasti membuatkan anda terasa nyaman dan segar.


ADA dua sebab utama mengapa Klana Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan perlu anda kunjungi.

Pertama, hotel bertaraf tiga bintang itu menawarkan konsep pematuhan syariah dalam operasinya.

Kedua, pengunjung berpeluang melihat bulan dan bintang di angkasa di Balai Cerap Kompleks Batu Hilal berdekatan hotel itu.

Memulakan bicara, pengurus hotel, Che Dzarudin Che Omar, tiada minuman alkohol dihidangkan di hotel tersebut selain sumber makanan yang dihidangkan turut halal.

“Berbeza dengan hotel-hotel konvensional, kakitangan hotel ini turut mengenakan pakaian yang menutup aurat.

“Jadi peluang untuk mencuci mata agak terhad di hotel ini,” gurau Che Dzarudin.

Sebaik sahaja kru Jurnal memasuki hotel ini, atmosfera ketenangan mula dirasai.

Alunan lagu-lagu nasyid dan bacaan al-Quran cukup menenangkan.

Malah, setiap kakitangan hotel tidak lekang dengan senyuman mesra dan sedia menjawab setiap pertanyaan yang dilontarkan pelanggan.

“Syukur, hotel ini bukan sahaja menerima kehadiran pelanggan daripada pelancong asing dari Jerman dan Australia tetapi daripada Arab Saudi, Iraq dan juga Pakistan.

Setiap dinding di hotel ini juga mempunyai bingkai gambar bintang-bintang yang membolehkan pengunjung melihat keajaiban angkasa lepas.


BALAI CERAP yang mula beroperasi sepenuhnya mulai Mei ini menempatkan teleskop cerapan bintang di bawah kubah khas boleh laras.


Kolam khas

Sentuhan reka bentuk Islamik seperti kubah masjid selari dengan rekaan lampu-lampu hiasan yang menampilkan planet-planet yang terdapat di angkasa.

Ironi, terasa seperti anda mendiami hotel di angkasa.

Bukan itu sahaja, hotel turut mengasingkan kolam renang untuk lelaki dan wanita selain sebuah kolam khas untuk kanak-kanak.

Namun, tarikan utama hotel yang mula beroperasi sepenuhnya pada November tahun lepas ini ialah lokasinya yang strategik kerana terletak di antara dua buah pantai iaitu Pantai Teluk Kemang dan Pantai Seri Purnama.

Laluan pejalan kaki sepanjang 300 meter di kedua-dua pantai berlatarbelakangkan hotel itu turut membolehkan tetamu menikmati pemandangan indah terutama semasa matahari terbenam.

Bagi kanak-kanak, mereka sudah tentu dapat bermandi-manda bersama keluarga di kedua-dua pantai.

Usah khuatir, jika kelaparan selepas mandi-manda, terdapat kafe hotel yang beroperasi sehingga tengah malam yang boleh menampung sehingga 150 pelanggan.

Reka bentuk kafe ternyata ringkas tetapi hiasan lampu berwarna-warni serta susunan meja dan kerusi seperti di tepi pantai pasti menarik perhatian anda.

Esktra kepada tetamu, tekstur dan kepelbagaian makanan yang disediakan kafe itu pasti membuatkan anda kecur liur.

Che Dazaruddin memberitahu, hotel tersebut mempunyai 82 bilik dan tiga bangunan apartmen.

Bercerita mengenai hiasan dan kemudahan yang terdapat di bilik, pasti menimbulkan keterujaan.

Setiap bilik dilengkapi kemudahan televisyen plasma, seterika, pancuran air panas dan kemudahan WiFi.

Turut disediakan ialah kemudahan peti keselamatan persendirian yang membolehkan tetamu menyimpan barangan berharga semasa beriadah.

Warna dinding bilik cukup menonjol hasil penggunaan warna kelabu, oren dan merah. Rona warna itu pasti membuatkan tetamu mudah melelapkan mata.

Pencahayaan lampu yang ringkas juga menepati ciri-ciri bilik bukan sahaja kepada pasangan yang baru berkahwin malah untuk seisi keluarga.

Jika bingkai gambar pemandangan menjadi hiasan dinding di kebanyakan hotel, Klana Beach Resort memilih untuk menggantung bingkai gambar bintang-bintang yang berselerakan di angkasa.


HARGA teleskop ini berserta aksesorinya bernilai lebih RM1 juta.


Balai cerap

Balai cerap yang terdapat berhampiran hotel terus memberikan sudut pandang berbeza hotel ini.

Tetamu pasti teruja meneropong jauh bintang-bintang yang terdapat di angkasa.

Jangan terkejut kerana kemudahan teleskop yang terdapat di hotel ini adalah sepanjang 609 milimeter dan ia merupakan antara yang terbesar di Asia Tenggara.

Tutur Che Dzarudin, pakej Astronomi (Astro) membolehkan pengunjung bermalam di bilik serta melihat bintang di angkasa bersama keluarga yang akan beroperasi sepenuhnya pertengahan Mei tahun ini.

Malah, teleskop digunakan ialah jenis teleskop pemantul Cassegrain yang merupakan antara tercanggih di dunia.

“Tetapi, bagi pakej Astro bergantung kepada keadaan cuaca kerana jika lapisan awan tebal bintang-bintang dan bulan tidak akan kelihatan.

“Sekiranya cuaca cerah, pengunjung pasti boleh melihat planet Zuhrah, Utarid, Neptune, Uranus, Zuhal, Musytari, Marikh yang berjuta-juta kilometer jauhnya dari bumi,” ujarnya.

Ilmu pengetahuan anda mengenai dunia astronomi turut bercambah kerana Kompleks Baitul Hilal mempunyai galeri astronomi yang menceritakan kehebatan cendekiawan falak Islam seperti Al Khawarizmi, Al Biruni, Al Zarqali, Al Khawarizmi dan Al Battani.

Kedudukan kubah yang boleh bergerak sendiri pada 360 darjah mengikut arah jam atau lawan jam, dan bumbungnya yang boleh dibuka mengikut kedudukan teleskop jelas membuktikan kecanggihan teknologi yang digunakan.


BILIK hotel yang eksklusif serta sesuai untuk mereka yang sudah berkeluarga.


Bagi tetamu hotel, Norlia Majid, peluang menyaksikan bintang pada skala yang lebih besar berbanding sangat kecil jika dipandang menggunakan mata kasar satu pengalaman yang menyeronokkan.

“Jarang hotel yang menawarkan pakej seperti ini. Ini ibarat serampang dua mata iaitu tidur di hotel dapat, tengok angkasa pun dapat,” katanya tersenyum.

Rakannya, Enya Lee pula memberitahu, sebelum ini dia hanya melihat balai cerap dan teleskop dalam rancangan dokumentari angkasa lepas tetapi kali ini satu realiti.

“Seronok, pasti saya akan datang ke sini lagi bersama keluarga.

“Melihat bintang dan bulan cukup menyeronokkan,” katanya.

Bagi Khalid Mohamad, teleskop yang digunakan cukup canggih.

“Macam berada di dalam satelit pula dengan dikelilingi pelbagai bintang-bintang di angkasa lepas yang berjuta-juta jumlahnya,” katanya sambil tersenyum.