Selangor MB Kids kuasai siri kelima


DUA pasukan yang mengungguli kategori bawah 12 tahun meraikan kejayaan mereka bersama Mohd. Hanif (berdiri tengah) selepas selesai saingan siri kelima di Kepala Batas, Kedah Sabtu lalu.


AKADEMI Bola Sepak dari Klang, Selangor MB Kids muncul juara kategori bawah 12 tahun pada saingan siri kelima Karnival Futsal Milo Hidup Bola yang berakhir di Kepala Batas Kedah, Sabtu lalu.

Kejayaan itu diperoleh selepas mereka menewaskan Kubang Pasu B dari Kedah 2-1 pada perlawanan akhir.

Selain meraih ganjaran lumayan pada karnival tersebut, kedua-dua pasukan juga turut layak mengisi slot ke grand final karnival berkenaan yang dijadualkan berlangsung pada 16 September depan si Sports Planet, Ampang.

Bagi kategori bawah 16 tahun pula, pasukan Klinik Wakaf Siku 8 dari Kelantan muncul juara selepas menghampakan impian Ceplos FC dari Kedah 1-0 pada perlawanan akhir.

Begitupun, kedua-dua pasukan turut layak ke pusingan grand final.

Saingan siri kelima ini menyaksikan penyertaan daripada 72 pasukan untuk kedua-dua kategori.

Ia berlangsung di gelanggang D Futsal Centre Kepala Batas, Kedah.

Pada edisi yang sama tahun lalu, hanya 67 pasukan tampil menyahut cabaran.

Peningkatan ini membuktikan bahawa minat terhadap sukan futsal di peringkat akar umbi semakin berkembang.

Siri kelima ini turut mendapat penyertaan daripada pasukan-pasukan sejauh Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan.

Karnival Futsal Milo Hidup Bola ini akan diadakan di setiap negeri dan mengandungi 14 siri.

Ia akan diadakan pada setiap hujung minggu sehingga ke pusingan Grand Final kelak.

Sebanyak 32 pasukan terbaik dalam kedua-dua kategori daripada 14 siri ini akan berentap pada Grand Final nanti untuk memenangi hadiah yang lumayan iaitu RM15,000 kepada pasukan yang muncul juara, RM10,000 untuk naib juara dan RM7,000 untuk tempat ketiga dan keempat.

Pengurus Pemasaran Sukan Nestle Products Sdn Bhd, Ng Ping Loong berkata, mutu permainan yang dipamerkan oleh semua pasukan pada karnival tahun ini semakin menunjukkan peningkatan.

"Ini satu petanda yang menggalakkan untuk mempertingkatkan kualiti sukan futsal pada masa depan.

"Objektif kami juga adalah untuk memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mempamerkan skil, merasai keseronokan suasana kejohanan, mempromosikan nilai-nilai murni sukan dan bertemu kawan-kawan baru," kata Ping Loong.

Menurutnya, dia yakin dengan permulaan yang menggalakkan ini, ia akan dapat menjana lebih banyak penyertaan untuk 10 lagi siri di negeri negeri lain.

Siri keenam karnival ini akan berlangsung di Johor pada 12 Mei ini dan penyertaan masih di buka.

Yuran penyertaan hanya RM50 untuk satu pasukan.

Borang penyertaan boleh didapati di semua 14 gelanggang atau layari laman web www.milo.com.my; www.syoknyasukan.com dan facebook.com/MILOHidupBola atau menghubungi Pengarah Karnival, Nik Muhd. Radzi menerusi talian 019-3519934.

Turut hadir pada karnival siri kelima Sabtu lalu ialah Pengurus Sampling dan Acara Sukan Kawasan Utara Nestle Products Sdn Bhd, Mohd. Hanif Harun.