Kes samun: Mohd. Nizam Abd. Manaf dicari polis

16/05/2012 1:31pm

BACHOK - Polis sedang mengesan seorang lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan kes samun secara berkumpulan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Bachok, DSP Ab. Rahim Che Ghani berkata, Mohd. Nizam Abd. Manaf, 32, berasal dari Kampung Nakhoda Saamah di sini, menggunakan kad pengenalan bernombor 800827-03-5283.

Kumpulan terbabit yang dianggotai tiga hingga empat lelaki, dipercayai terlibat dalam 12 kes samun sejak November tahun lepas, dengan sasarannya golongan suri rumah, katanya kepada pemberita di pejabatnya semalam.

Ab Rahim berkata, modus operandi kumpulan itu ialah datang ke rumah mangsa dan berpura-pura menanyakan nama jalan atau orang, sebelum meragut dan melarikan barangan berharga, pada waktu siang.

Dalam kejadian tiga hari lepas, seorang suri rumah di Kampung Kandis di sini, kerugian kira-kira RM10,000 apabila barang kemas, telefon bimbit dan wang tunai disamun dipercayai dilakukan kumpulan terbabit. - BERNAMA