Rezeki buat Nora

NORA kini muncul dengan album terbaharu yang berjudul Hikmah.


18tahun dalam industri seni suara, sembilan buah album terhasil, Nora kini kembali bersama mesej lebih positif menerusi album berkonsep pop kerohanian berjudul Hikmah.

Selepas kali terakhir muncul dengan album Samudera pada tahun 2006, pemenang Lagu Pop Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-8 itu mengakui agak sukar untuk mencari material yang sesuai dengan dirinya kini.

“Saya mahu mencari lagu yang lain daripada lain dan menyampaikan mesej-mesej positif dalam kehidupan.

“Sepanjang dalam industri, saya sudah belajar banyak perkara dan melalui pelbagai cabaran, malah setiap dugaan itu ada hikmah di sebaliknya,” ujarnya serba ringkas mengenai perjalanan melahirkan album kesepuluhnya itu.

Berhijrah tidak mengehadkan bidang nyanyiannya dan Nora tidak menolak sekiranya diminta untuk mendendangkan rangkaian lagu popularnya dahulu.

“Ke mana saja saya pergi, mesti ada yang meminta saya untuk menyanyikan lagu Di Persimpangan Dilema. Selepas berfikir panjang, saya memilih untuk mengubah suai lagu itu menjadi dua versi dan memberikan makna yang lebih positif berbanding sebelum ini,” kata Nora mengenai lagu Di Persimpangan Dilema yang diubah menjadi Hikmah (Dilema ‘12).

Album Hikmah memuatkan 15 buah lagu yang sebelum ini dirakam dan diedarkan sebagai single. Khas buat peminat, album ini turut menampilkan minus one lagu Dilema ‘03 dan Samudera.

Selain itu, album yang sudah mula berada di pasaran itu mengandungi lagu-lagu seperti Doa, Pedoman, Tulus, Cinta Sebenarnya, Gerhana Kasih, Sesuci Kelopak Mawar, Secebis Harapan, Secukup Rasa, Terima Kasih Ibu dan Dari Mata Sedih.

Bersaing

Nora bagaimanapun mempunyai pendirian dan matlamatnya sendiri dalam merencanakan kehidupan serta karier.

Kata pemilik nama Wan Norafizah Ariffin, 39, dia tidak perlu bersaing dengan penyanyi muda untuk memastikan dia kekal dikenali.

“Kita tidak boleh bersaing dengan golongan muda dan tak perlu jadi moden untuk popular, cuma jadi diri sendiri.

“Cara menyanyi juga harus sesuai dengan usia yang sudah hampir ke angka 40 tahun, asalkan semua orang boleh menyanyikan lagu saya, itu sudah cukup,” katanya yang ditemui ketika majlis pelancaran album Hikmah dan pelantikannya sebagai duta produk minyak argan dari Maghribi, Secretleaf di Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Anak keempat

Tambah Nora, biarpun kini mengekalkan imej bertudung dan lebih mengkhususkan lagu-lagu bersifat kerohanian, dia masih tidak lekang dihujani rezeki dan undangan persembahan.

“Alhamdulillah, rezeki tidak pernah putus dan sentiasa ada undangan untuk membuat persembahan selepas berhijrah.

“Selain itu saya selalu diundang untuk menjadi penceramah dan pakar motivasi, tapi saya sekadar berkongsi pengalaman hidup,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nora kini teruja kerana sedang hamil anak keempat.

“Alhamdulillah rezeki Allah, sudah dua bulan usia kandungan saya dan apabila hamil balik selepas lapan tahun, rasa penatnya lain macam sedikit berbanding sebelum ini, mungkin faktor umur.

“Tapi anak-anak banyak memberikan sokongan hebat. Kalau ditanya mengenai mengidam, setakat ini tiada yang pelik-pelik lagi melainkan pernah sekali minta suami (Johan Nawawi) belikan sup lidah lembu,” cerita Nora.

Hasil perkongsian hidup dengan komposer terkenal Johan Nawawi, Nora dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Mohd. Syakir Iman, 19, Mohd. Syakir Alif, 13, dan Putri Nor Dahlia, 8.