Mengenali keperibadian Tuanku Abdul Halim


GALERI Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ini pada asalnya merupakan Mahkamah Tinggi Alor Setar.


MASYARAKAT umum khususnya rakyat negeri Kedah berpeluang mengenali Sultan Kedah lebih dekat dengan berkunjung ke Muzium Diraja Kedah atau Galeri Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Alor Setar.

Di muzium dan galeri itu, para pengunjung boleh melihat carta yang menunjukkan susur galur keluarga Diraja Kedah. Dianggarkan kedua-dua lokasi tersebut menyimpan hampir 2,000 barangan koleksi peribadi Sultan Kedah.

Lebih menarik, di Galeri Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah orang ramai berpeluang melihat pelbagai koleksi gambar Tuanku Abdul Halim semasa kecil, dewasa sehinggalah baginda menempuh alam perkahwinan.

Turut dipamerkan koleksi barangan peribadi Tuanku Sultan seperti pakaian rasmi, kasut, tali leher, kaca mata, beg kerja, pen, kamera serta pelbagai jenis kenderaan Diraja.

Muzium Diraja Kedah pula terletak berhampiran dengan Galeri Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan lokasi tumpuan pelancong lain seperti Balai Nobat, Balai Besar, Masjid Zahir dan Balai Seni Negeri.

Penolong Kurator muzium, Rahimah Mat berkata, rata-rata pengunjung berminat untuk mengetahui tentang susur galur Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Sultan Kedah sekarang, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.


PELAMIN diraja yang menjadi tempat persandingan majlis perkahwinan diraja yang dipamerkan di Muzium Diraja Kedah.


"Di muzium ini, para pengunjung boleh melihat carta susur galur keluarga Diraja Kedah dengan lebih jelas dan mereka boleh memahaminya dengan mudah," katanya ketika ditemui di Muzium Diraja Kedah baru-baru ini.

Antara koleksi gambar baginda yang dipamerkan di Muzium Diraja termasuklah ketika Sultan Abdul Hamid menganggotai Persatuan Geografi di Kolej Sultan Abdul Hamid dan gambar baginda bersama keluarga sebelum berangkat ke England pada tahun 1949.

Selain itu, muzium tersebut mempamerkan gambar Tuanku Sultan bersama ayahanda saudara, Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Perdana Menteri Kedua Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein.

Rakyat teruja

Menurut Rahimah, ada kalangan pengunjung yang begitu teruja tentang Sultan Kedah dan mahu mengetahui lebih lanjut apabila baginda dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-14 oleh Majlis Raja-Raja pada satu mesyuarat di Istana Negara pada 14 Oktober lalu.


BILIK BERADU. Ruang ini dijadikan bilik beradu untuk pasangan pengantin diraja dan dipamerkan di Muzium Diraja Kedah.


"Ini merupakan kali kedua Sultan Abdul Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada 21 September 1970 untuk tempoh lima tahun, berakhir pada 20 September 1975," katanya.

Kata Rahimah, beliau gemar memberitahu pengunjung tentang keperibadian Sultan Kedah yang mempunyai tutur bicara yang lemah lembut ketika bertitah di hadapan rakyatnya.

"Apa yang menarik, bukan warga Kedah saja yang mahu mengenali Sultan Kedah dengan lebih dekat bahkan rakyat dari negeri lain di Malaysia termasuklah rakyat negara jiran, Thailand," jelasnya.

Sepanjang tahun ini sehingga bulan lalu, muzium menerima kunjungan seramai 17,524 orang termasuk pelancong dari luar negara.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Tengku Ammar Shafiq Tengku Amir, 15, berkata, dia amat berminat untuk mengenali Sultan Kedah lebih dekat. Impiannya untuk berkunjung ke muzium tersebut juga tercapai.


ANTARA koleksi kereta antik, model Crossley tahun 1920 Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang dipamerkan di Galeri Sultan Abdul Halim.


"Saya datang dengan saudara-mara dari Singapura dan mereka juga berminat dengan susur galur keluarga Diraja Kedah dan Sultan Kedah yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14," katanya.

Sepupunya, Maria Liyana Mohd. Mokhti, 14, dari Singapura pula berkata, sebelum ini dia hanya mengetahui tentang Tunku Abdul Rahman sahaja.

"Kunjungan ke muzium ini memberi pengetahuan lanjut apabila ada maklumat di muzium ini yang menyatakan bahawa Tunku Abdul Rahman ialah ayahanda saudara kepada Sultan Kedah sekarang," tambahnya. - NORLIDA AKMAR IDROS