Eira Syazira basuh kekecewaan



MENGALIR bersama arus seni yang memperkenalkan siapa Eira Syazira seperti dikenali umum, wanita yang pernah diberi jolokan pelakon air mata itu tidak pernah mengalah. Setelah hampir sedekad dalam arena hiburan, dia cukup sedar, kelangsungan menjadi anak seni bukanlah satu tempoh yang mudah buatnya.

Pelakon yang pernah popular menerusi drama Cinta Balqis tidak terusik emosinya apabila bercakap tentang jatuh bangun kariernya. Bagi Eira, dia melihat kejayaannya dalam konteks peribadi. Benar, dia bukan nama besar atau gah dipuja di sana-sini, tapi kejayaan paling besar selama bergelar artis ialah keupayaannya untuk terus kekal di hati peminat.

Biarpun ada yang dengan mudah menggelarkan dirinya pelakon suam-suam kuku yang berangan hendak menjadi penyanyi, Eira juga tidak terguris jika ungkapan itu ditujukan kepadanya.

"Saya tidak rasa begitu. Suam-suam kuku atau tidak, yang penting saya sendiri tidak putus tawaran lakonan bahkan saya lihat graf saya berada di kedudukan yang selesa. Kerja-kerja lakonan saya banyak disiarkan di waktu perdana," ujarnya positif menangani keadaan.

Pelakon berusia 28 tahun itu juga percaya, setiap individu tidak hanya diberikan satu pilihan atau sekadar satu peluang. Dalam kes Eira Syazira, sengaja dibangkitkan satu persoalan berhubung status album sulungnya, Di Hati Ini. Ibarat guruh berdentum hujan tak jadi, kisah album dan langkah Eira sebagai penyanyi tiba-tiba sepi tanpa berita.

"Sepatutnya soalan itu ditujukan kepada syarikat SGM Sdn. Bhd. yang melabur dana untuk menerbitkan album berkenaan. Walaupun sudah dilancarkan dan dicetak sebanyak 2,000 unit, sampai hari ini, saya sendiri tidak tahu apa status album itu.

"Terkilan itu ada, namun bukan kuasa saya. Lagipun, semua kos album itu ditanggung pihak syarikat. Saya tidak boleh kata apa-apa. Kontrak dua tahun bersama syarikat itu juga sudah tamat," jelas Eira yang tidak mengalah untuk dikenali sebagai penyanyi.

Nyanyian beri keseronokan


TIDAK berjauh hati dengan dunia nyanyian akibat album pertamanya terperap tanpa diedarkan, Eira sebaliknya bertemu 'jodoh' dengan Manusia Putih yang memberikan Prasasti Cinta untuk dia meneruskan impian menjadi penyanyi.


Ada kematangan terselit daripada bicara isteri pelakon Azad Jasmin itu. Seperti ada rahsia yang tidak mahu diselongkar kembali, Eira akhirnya bercerita. Siapa sangka, di sebalik ketenangan dan kelembutan pada wajahnya, wanita yang sedang berbadan dua ini pernah diuji oleh janji palsu.

"Dahulu keterujaan saya untuk bergelar penyanyi itu membuak-buak. Jadi bila dapat tawaran, saya terus terima dan sanggup belajar menyanyi walaupun susah. Jadi, siapa tidak kecewa. Saya beranggapan rezeki tak menyebelahi saya ketika itu. Saya reda.

"Tapi, sesuatu yang tak disangka berlaku lagi apabila idea untuk merakamkan lagu runut bunyi untuk drama Bonda terbitan JS Pictures akhirnya membuka jalan baharu kepada saya. Lagu runut bunyi drama berkenaan, Prasasti Cinta ciptaan Manusia Putih kini menjadi single pertama saya yang sedang saya promosikan," kongsi Eira yang melihat nyanyian sebagai mata pencarian yang menyeronokkan.

Tambah Eira: "Lakonan kerjanya sepanjang hari di lokasi dan dibayar dengan jumlah tertentu sehinggalah penggambaran selesai. Nyanyian pula, saya sendiri keluar modal. Sukarnya sewaktu proses rakaman dan ketika berdepan penonton secara langsung di atas pentas. Tapi, turun sahaja dari pentas, saya boleh senyum dengan nilai wang yang dibayar secara tunai atau cek. Nyanyian, benda baharu yang banyak ajar saya untuk lebih kuat dari segi mental dan keyakinan diri."

Tidak puas dengan Prasasti Cinta, anak kedua daripada lapan adik-beradik itu menyimpan impian untuk muncul dalam sebuah duet bersama suaminya.

"Cuma buat masa ini banyak perancangan harus ditunda. Tunggulah lepas bersalin nanti. Dalam keadaan sekarang, saya agak lemah untuk memenuhi banyak tuntutan. Kalau diberikan rezeki, Insya-Allah, saya akan muncul dengan single kedua berjudul Sajak Dari Hati selepas selamat bersalin nanti," katanya yang kini hamil tiga bulan.

Jika diukur dari segi populariti, Eira sebenarnya bukan sesiapa. Tempoh hampir sedekad yang dilalui juga tidak banyak menumbuhkan cerita sensasi kecuali kontroversi yang berlaku di awal perkahwinannya dengan Azad. Sementelah Azad sendiri pernah kecoh dengan sengketa bersama Faezah Elai sewaktu di awal perancangan mereka sebelum bernikah September tahun lepas.

Antara Azad dan Eira, karakter mereka seperti langit dan bumi. Bersuamikan lelaki yang pantang terusik dan mudah melenting, itu sesuatu yang agak menggerunkan bagi sesetengah wanita.

"Azad sangat jujur dengan dirinya. Jika ada sesuatu yang tidak kena dan berasa teraniaya oleh pihak lain, dia akan bermati-matian mempertahankan haknya. Saya kenal sangat dengan sikapnya," beritahu Eira yang kini bakal sibuk dengan penggambaran sebuah telemovie untuk siaran menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.

Rezeki anak

Menanyakan khabar benih yang sedang membesar dalam kandungannya, Eira tersenyum menahan bahagia. Dalam bahagia menunggu kehadiran orang ketiga, ada kerisauan berselindung di sebalik sinar matanya.


SELAMA ini, Eira Syazira tidak menimbulkan banyak cerita sensasi, namun pertemuannya bersama Azad Jasmin memberi ujian kepada Eira untuk lebih sabar dengan pandangan segelintir pihak yang kurang senang dengan sikap Azad yang kuat melenting.


Kali pertama, pengalaman pertama. Siapa jua akan berdepan perasaan sedemikian bahkan untuk ibu-ibu yang sudah ada punya anak, setiap kehamilan masih memberi pengalaman berbeza.

"Saya sebenarnya tidak sabar tapi pada masa yang sama berasa takut memikirkan situasi hendak bersalin nanti. Macam-macam cerita yang saya dengar, adakalanya buat saya bertambah takut tapi itulah yang saya mahu tahu," jelas Eira yang mengalami alahan sepanjang sejak mengandung.

Sedikit lemah dan kurang bermaya, namun demi komitmen kepada kerjaya Eira bergagah meneruskan penggambaran. Ketika temu bual ini dilakukan, Eira berada di lokasi telemovie Sejadah Dari Mekah.

"Sebenarnya sejak tahu tentang kandungan, saya bercadang hendak berehat tapi tak sampai hati hendak menolak tawaran. Saya anggap ini rezeki anak. Setakat ambil tawaran telemovie saya masih berani tapi tidak untuk drama bersiri atau penggambaran di luar Kuala Lumpur.

"Saya juga kena pastikan jadual Azad lapang untuk menghantar dan mengambil saya dari lokasi. Tanpa Azad atau adik, saya tak akan ke lokasi, takut nanti menyusahkan kerja orang lain pula," katanya yang belum memutuskan untuk bersalin di Kuala Lumpur atau rumah mertuanya di Pulau Pinang.