Laporan polis terhadap Presiden Majlis Peguam

26/06/2012 7:47pm

KUALA LUMPUR Seorang peguam hari ini membuat laporan polis terhadap Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbentuk hasutan berkaitan Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008.

Mohd Khairul Azam Abd Aziz, yang datang berseorangan, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 11 pagi dan berada di balai itu selama sejam.

Mohd Khairul ketika ditemui pemberita berkata, kenyataan Chee Wee yang ditemui di laman web badan peguam berkenaan disifatkan beliau sebagai satu unsur hasutan yang boleh mengundang kepada kebencian terhadap fatwa oleh mufti atau Jawatankuasa Fatwa Negeri.

"Saya ada bertanyakan tiga perkara kepada Lim mengenai kenyataan beliau iaitu siapa yang memberikan autoriti untuk mengeluarkan kenyataan tersebut, adakah ada sebarang mesyuarat sebelum kenyataan itu dikeluarkan dan adakah terdapat permintaan rasmi untuk mengeluarkan kenyataan itu.

"Saya memberikan Chee Wee masa tujuh hari untuk menjawab namun baru semalam beliau memberi jawapan iaitu kerana kami berbeza pandangan justeru jawapan Chee Wee itu tidak menjawab soalan saya, katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis.

Sebelum ini, Majlis Peguam menyuarakan kekesalan dan kebimbangan terhadap pindaan yang dibuat ke atas Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 baru-baru ini, yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dan menyifatkannya sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. BERNAMA