Anak muda membawa revolusi

MEMBAWA tema revolusi, grup naungan Luncai Emas Sdn. Bhd. ini menganggap predikat revolusi itu bergantung juga dengan mentaliti dan usaha.


LIMA anak muda mengusung suara hati, disatukan dalam satu nama, satu pelayaran berbenderakan nama Pita Hati. Asalnya nama tadi berjudul H.A.T.I, terdahulu dianggotai dengan dua panji iaitu Ilham dan Yasin yang kemudian dikembangkan menjadi lima kepala.

Bila anak muda bersuara baik dalam kata biasa atau berlagu, mereka berhasrat menyampaikan sesuatu. Nah, Ilham bersatu dengan Yasin yang kemudian disertai Masrin, Zahar dan Dayat membawa satu kebangkitan bernama revolusi.

Revolusinya tadi diangkat kemudian menjadi tema kepada perjuangan pita rakaman hati mereka. Predikat revolusi itu sendiri umumnya mensyaratkan hadirnya pemimpin karismatik yang berperanan sebagai sebuah 'parti pelopor' (avant garde) dengan adanya sebuah elemen ideologi. Mereka hadir untuk itu, satu misi dalam turun naik nafas mereka bermuzik untuk diri, juga untuk khalayak.

Gabung rasa dan jiwa

Masuk ke dalam susur masa awal grup yang bernaung di bawah syarikat rakaman Luncai Emas Sdn. Bhd. ini, grup tersebut ditubuhkan pada tahun 2000.

Resam sebuah grup, keluar dan masuk itu menjadi lumrah. Cekal Ilham dan Yasin masih bersimpuh erat apabila ditinggalkan dua rakan asal H.A.T.I. Pertemuan dengan Masrin melalui perbualan ringkas di laman sosial Facebook telah membawa kepada sebuah antropologi yang bermakna.

Masrin kemudian mengundang Zahar sebagai pemain gitar untuk bersatu dalam Pita Hati. Jodoh dan pertemuan seakan-akan diatur, Hidayat yang baru habis berkuliah di Perth, Australia kemudian pulang ke tanah air membawa kepada sebuah nafas baharu buat grup ini.

Lengkap menjadi satu dalam lima posisi santun, Pita Hati mempersiapkan peluru berupa karya untuk ditembakkan kepada pendengaran khalayak. Mohd Ilham, 26, yang bertindak sebagai vokalis bersatu dengan dua orang adiknya, Yasin, 24 (pemain dram) dan Hidayat, 20 (gitar). Masrin, 26 yang bermain gitar bass dan Zahar, 31, gitar menjadi pelengkap kepada antusias grup ini untuk mendepankan sesuatu.

Buat Pita Hati, pertemuan ini telah mencerna kepada satu gerakan revolusi avant-garde rock nusantara eksperimental yang halus.


PITA HATI muncul dengan sebuah EP (extra play) yang mengandungi empat buah lagu dan sebuah instrumental.


Muzik avant-garde mereka dipengaruhi oleh karya-karya tempatan dan luar negara. Pelayaran, muzik dan kecekalan Search, Butterfingers, OAG, Radiohead dan Pink Floyd adalah pengaruh mereka.

"Proses kreatif bermula dengan sesi jamming kemudian dikembangkan menjadi sebuah karya. Ia kemudian membawa kepada pecahan lirik," ujar Ilham sang vokalis.

"Masuk ke dalam tema dan idea pula, kami mula dengan bincangkan topik. Kami rasakan tema revolusi itu tepat dengan apa yang ingin kami bawakan. Dalam EP (extra Play) Bintang Biru Kristal Salju ada sebuah lagu bertajuk Revolusioner Jilid 1 yang berdurasi 16 minit," ujar Masrin.

Dua bulan mereka bersatu jiwa dan rasa menyiapkan EP yang bertajuk Bintang Biru Kristal Salju. EP yang mengandungi empat buah lagu berserta sebuah instrumental ini dilancarkan pada 30 April lalu di Galeri Annexe, Pasar Seni dan disatukan dengan sebuah showcase yang mendapat respons baik daripada ramai kenalan dan peminat.

Tampil unik sepanjang showcase tersebut, acara dengan tema Ekspresi Revolusi Seni Dalam Ruang Hati tersebut menggabungkan persembahan muzik eksperimental rock, seni visual dan monoloq oleh Khairil Ridzuan. Khalayak yang hadir baik daripada haluan yang sama atau berbeza merasai apa yang mereka cuba sampaikan.

Mengangkat Bintang Biru Kristal Salju sebagai lagu perdana mereka, lagu ini sudah muncul dalam carta Muzik-muzik dan kini dimainkan di radio-radio tempatan dan Singapura.

Moden dan vintaj

Ditanyakan anak-anak muda ini tentang pandangan revolusi itu sendiri dalam hidup bermuzik kini, Masrin menjawab dengan tenang.

"Kami lihat revolusi itu datang dengan media. Dulu perjalanannya lebih konservatif tetapi kini kita diberikan kemudahan internet yang mana karya boleh terus sampai kepada pendengar mahupun penonton."

"Revolusi itu juga bergantung kepada mentaliti juga usaha. Ini adalah sebuah permulaan malah percubaan buat Pita Hati. Seperti mana-mana pergerakan secara umum, akan sampai masa dan inilah masa untuk kami bertanggungjawab atas karya dan pergerakan itu. Muzik adalah medium untuk sebuah penyampaian."

Sangat meminati muzik dan tidak bersikap prejudis terhadap mana-mana genre, mereka meletakkan isi pita hati sebagai sebuah eksperimen.

"Perubahan pembawa kepada pembaharuan dan kemajuan. Eksperimen yang dimaksudkan di sini adalah kami masukkan juga elemen-elemen tradisi ke dalam lagu-lagu Pita Hati," ujar Masrin.

"Ada yang tidak faham dengan perjuangan atau lagu kami. Sejujurnya, semua orang mahukan benda baharu dan semula jadi," tambah Ilham tentang respons khalayak terhadap lagu-lagu mereka.

Masuk ke dalam bab lirik yang merupakan elemen penyampaian paling mudah dicerna dalam sesebuah karya, Pita Hati mengaku tidak mempolitikkan suasana walau bertunjangkan tema revolusi.

"Sebenarnya kami bawakan pelbagai isu dalam lirik Pita Hati. Ia kemudian berbalik kepada tafsiran individu. Kami bercerita tentang pelbagai hal. Mungkin ada yang nampak ke arah politik, tetapi ia sebenarnya menjurus kepada perubahan," terang Ilham lagi tentang kreaviti mereka dalam menghasilkan lirik anak muda.

Gaya penulisan lirik grup ini cenderung kepada karya-karya Iwan Fals, Loloq, Pramoedya A. Toer dan A. Samad Said. Ditilik kepada gaya penulisan dan karya lagu Pita Hati, boleh diumpamakan sebagai satu pertembungan muzik moden dan vintaj dengan sentuhan elemen elektronik, psykadelia, drum dan bass, folk dan tradisi nusantara.

Muncul sebuah lagi grup anak muda dengan visi dan jalan konservatif dalam membentuk grup dan jalur pengalaman mereka. Yang dihadiahkan kepada khalayak bukan sahaja karya-karya mereka, tetapi ideologi dan pendekatan dengan nama revolusi.




Sifat revolusi itu sendiri berhubung kait dengan masa. Ukuran kecepatan suatu perubahan sebenarnya relatif kerana revolusi itu memakan waktu. Seperti kata Pita Hati itu sendiri, semuanya berhubung kait dengan mentaliti dan semoga keterbukaan khalayak berhadapan dengan perkara baharu tidak menjadikan revolusi Pita Hati itu berdepan dengan waktu yang panjang.