Al-Fatihah buat Osman Kering


KATA pelakon ini, nama Osman Kering memang sesuai dengan keadaan fizikalnya.


PENDERITAAN pelawak tanah air, Osman Kassim atau lebih dikenali sebagai Osman Kering, 58, akhirnya sampai ke penghujung kelmarin. Terlantar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras sejak 11 Jun lalu, Osman yang menghidap penyakit batuk kering itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 3.45 petang, Jumaat lalu di katil hospital berkenaan.

Allahyarham meninggalkan balu, Che Norhayati Che Omar serta anak-anak, Mohd. Al Anas, 28, Mohd. Amin, 26, Nor Ain, 25, Nor Hidayah, 23, Habriyah, 16, Mohd. Al Adnin, 13, Mohd. Al Ajmim, 10 serta empat orang cucu.

Sepanjang kariernya sebagai anak seni, nama Osman tidaklah segah pelawak tersohor seperti Allahyarham Zami Ismail dan Allahyarham Muhammad Abdullah (Pak Busu), namun kecintaan Osman terhadap bidang seni telah meletakkan namanya sebagai pelakon veteran yang aktif sehingga hujung usia.

Sejak awal melangkahkan kaki menjadi pelakon bermula lewat 1970-an hingga pertengahan 1980-an, arwah hanya dikenali dengan nama sebenarnya, Osman Kassim. Barangkali kurang nilai populariti, nama itu tidak melekat di hati peminat.

Selepas 10 tahun menjadi artis, dia kemudian bertukar kepada Osman Kering ekoran satu insiden lucu bersama rakan pelawak, Mek Habsah.

Nama Osman Kering itu terpacul keluar daripada mulut Mek Habsah dalam satu persembahan yang sama-sama mereka sertai pada pertengahan tahun 1980-an. Ketika itu, Osman, Mek Habsah dan Datuk Yahya Sulong bergandingan dalam kumpulan Asam Pedas.

Mek Habsah yang secara spontan menyebut nama Osman sebagai Osman Kering sehingga menyebabkan penonton ketawa.

"Kena pula dengan badan saya yang kurus kering ini. Sejak saat itu, saya menggunakan nama Osman Kering sebagai nama pentas kerana ia lebih mudah diingati serta semakin popular pula pada ketika itu dan kekal hingga kini.

"Saya gunakan nama itu kerana bunyinya lebih komersial. Nama itu juga seperti memberi tuah kepada saya sebagai pelakon kerana ia sesuai dengan saya dan terus popular sehinggalah ke hari ini," memetik kata-kata arwah seperti yang tersiar dalam Mingguan Malaysia, Mei lalu.

Tidak termasuk drama televisyen, sepanjang bergelumang dalam dunia lakonan, pelakon kelahiran Bachok, Kelantan itu pernah menjayakan puluhan filem termasuklah Senario The Movie 1, Man Laksa, Tentang Bulan, Si Jantung, Adik, XX-Ray, Ringgit Kasorrga dan Cinta Rosevilla.

Dia turut menyerikan filem lain seperti Superstar, Raja Melewar, Soal Hati, Lagi-Lagi Senario, Mr. Cinderella, Gila-Gila Pengantin, Kemarau Cinta, 9 September, Antoo Fighter dan terbaharu, Kantoi.

Arwah pernah melahirkan rasa syukur selepas 33 tahun bergelar pelakon kerana dia masih terus mendapat tawaran melakonkan pelbagai watak sama ada dalam drama televisyen atau filem.


BERGELAR pelakon sejak tahun 1970-an, Osman kekal aktif dalam bidang seni sehingga ke penghujung nyawa.


Tidak ditawarkan watak atau karakter yang menyumbang konflik utama ke dalam sesebuah karya, tetapi sesuatu yang ketara, datuk kepada empat cucu itu mampu menarik perhatian para penerbit serta pengarah bagi mengambilnya berlakon dalam produksi mereka.

Arwah pernah berkata: "Antara sebab mengapa saya tidak putus-putus menerima tawaran berlakon adalah kerana tidak berkira soal bayaran. Begitu juga dalam persembahan pentas, asalkan ia berpatutan, maka saya akan terimanya dengan hati yang terbuka sejak dahulu hingga kini.

"Apa yang penting, saya seronok dan mudah untuk bekerja dengan mana-mana juga syarikat produksi. Sebab itu, saya masih terus berlakon sehingga kini dan mata pencarian saya hanyalah lakonan," kata-kata itu membuktikan arwah Osman berkhidmat sebagai pelakon sehingga ke nafas terakhirnya.

Dalam soal kebajikan serta meluahkan pandangan terhadap kepincangan dunia seni, kehadiran arwah Osman pada majlis Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! yang berlangsung pada Julai 2011 membuktikan komitmennya yang tidak pernah pudar. Dalam sinikal dan lelucon lakonannya yang pernah menghiburkan penonton tempatan, Osman juga ada pandangan yang kritis terhadap nasib pelakon sepertinya.

Perkara itu dibangkitkan Osman dan disuarakan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada majlis berkenaan.

Biarlah jasad dikandung tanah, semoga kehadiran Osman Kering yang pernah mencetuskan rasa terhibur rakyat Malaysia itu akan terus subur di hati kita semua. Al-Fatihah.