Demokrasi pecah tradisi tentera



BARU enam hari bergelar sang presiden menduduki kerusi paling panas dalam arena politik Asia Barat, Mohammed Morsi Isa Al-Ayyat, 60, sudah dihidangkan dengan seribu satu tugas di depannya.

Mewarisi pentadbiran Mesir, yang mana presiden sebelumnya ditumbangkan menerusi kebangkitan rakyat dan peperangan, seluruh dunia kini terarah kepada Mohammed Morsi atau hanya dipanggil Morsi.

Suruhanjaya Pilihan Raya pada 24 Jun lalu mengumumkan Morsi memenangi kerusi Presiden Mesir mengalahkan Ahmed Shafiq yang juga bekas perdana menteri di bawah pemimpin Mesir yang tersingkir, Hosni Mubarak.

Menurut perangkaan suruhanjaya, Morsi mendapat 51.7 peratus undi berbanding lawannya 48.3 peratus.

Ternyata setiap pejuang terutamanya di wilayah yang penuh dengan pergolakan mempunyai kisah di sebalik jeriji besi. Begitu jugalah dengan Morsi yang pernah dipenjarakan.

Lahir pada 20 Ogos 1951 di Wilayah As-Syarqiyah, di sebuah perkampungan Al-Udwah, Morsi berasal daripada sebuah keluarga yang sederhana, tetapi kaya dengan ajaran Islam.

Bapa beliau seorang petani, manakala ibunya pula seorang suri rumah.

Sungguhpun terlibat dalam dunia politik dan bergiat aktif dalam parti berunsur Islam, Morsi mempunyai latar belakang yang luas dalam bidang akademik.

Graduan Sarjana bidang Kejuruteraan Logam di Universiti Kaherah, pada tahun 1978 berangkat ke Amerika Syarikat (AS) untuk melanjutkan pelajarannya dan memperoleh Sarjana Kedoktoran di Universiti Southern California.

Morsi kemudian dilantik menjadi pensyarah dan pembantu profesor di beberapa universiti di AS.

Sekembalinya ke Mesir, Morsi ditawar sebagai Profesor dan Ketua Jabatan Fakulti Kejuruteraan Material Universiti Zaqaziq.


PENYOKONG Morsi bersorak sebaik beliau diumum memenangi pilihan raya Mesir.


Tidak seperti kebanyakan warga Mesir lain yang berpendidikan Barat, Morsi memilih untuk kembali ke Mesir dan mengajar di universiti tempatan dalam bidang logam.

Malah, beliau juga pernah menduduki jawatan penting dalam NASA (Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas) apabila membantu membangunkan enjin kapal angkasa.

Bergiat cergas dalam Jemaah Ikhwanul Muslimin, menentang tindakan dan perilaku rejim zalim pemerintahan Hosni, Morsi pernah ditangkap dan dipenjarakan.

Kebangkitan politik perjuangan beliau terus kukuh dan diiktiraf apabila Majlis Syura Ikhwanul Muslimin melantiknya menjadi anggota Maktab Irsyad, sekali gus membuka pintu sebagai Presiden Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP). Ia merupakan sebuah parti yang ditubuhkan oleh Ikhwanul Muslimin.

Pemilihan beliau telah menggandakan usaha gerakan Ikhwanul Muslimin yang kembali aktif selepas berlakunya Revolusi Mesir tahun lalu.

Semangat dan ketabahan yang tinggi bapa kepada lima orang anak itulah akhirnya membawa takdir Morsi kepada kerusi panas Presiden Mesir.

Kekangan kuasa Presiden Mesir

Kemenangan Morsi dalam pilihan raya baru-baru ini juga sebenarnya adalah simbolik kepada kemenangan sistem demokrasi sejati dalam sejarah Mesir.

Namun, Morsi daripada pergerakan Ikhwanul Muslimin tidak akan menikmati kuasa selaku raja moden Mesir sepenuhnya berikutan peraturan yang sedia ada dalam amalan Mubarak.

Kekangan daripada pihak ketenteraan akan memutuskan sejauh mana kuasa Morsi dalam kerajaan.

Walau bagaimanapun, kemenangan jurutera dalam pilihan raya pertama negara itu sama sekali memecah tradisi penguasaan angkatan tentera yang telah dipatenkan oleh pemimpin Mesir dahulu iaitu sejak penggulingan pemerintahan beraja 60 tahun lalu.

Berjanji akan bersederhana, Morsi mahu tampil dengan agenda Islamik moden dalam memandu Mesir ke era demokrasi baharu.

Beliau mahu sistem autokrasi digantikan dengan kerajaan yang telus dan menghormati hak asasi manusia.


MORSI mempunyai tanggungjawab yang sangat berat sebaik menduduki kerusi panas negara itu.


Dalam ucapan umum sulungnya, beliau mengakui bahawa: "Tiada institusi yang akan melampaui rakyatnya."

Ia sebagai satu sindiran kepada pasukan ketenteraan yang juga secara simboliknya meminta pihak tentera tidak mencampuri urusan parlimen negara itu.

Berucap dengan penuh berkobar-kobar, pada satu detik Morsi turut dilihat bertindak membuka jaket untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa beliau tidak memakai baju kalis peluru sambil menyatakan: "Saya tidak takut kepada sesiapa tetapi Tuhan."

Ucapan penuh keberanian beliau secara terang mencabar pasukan tenteranya.

Namun, di sebalik kemenangan Morsi, banyak pihak mempertikaikan kemampuan lelaki yang berbadan gempal dan berkaca mata itu.

Morsi jadi tayar ganti

Hal ini kerana, beliau dikatakan bukan pilihan utama bagi kerusi itu oleh Ikhwanul Muslimin.

Nama Morsi sebenarnya didakwa muncul sebagai pengganti apabila pencalonan ketuanya, Khairat al-Shater dibatalkan atas alasan teknikal.

Beliau dilabel sebagai 'tayar ganti' Ikhwanul Muslimin oleh pemerhati politik.

Persoalannya sejauh manakah Morsi mampu memerintah secara bebas daripada dikongkong pemimpin Ikhwanul Muslimin yang lain?

Apatah lagi, manifesto Morsi sendiri disediakan oleh pembuat dasar kumpulan tersebut.

"Saya akan melayan semua orang secara saksama dan menjadi hamba orang Mesir," janji Morsi di ibu pejabat beliau di Kaherah tidak lama selepas pengundian berakhir.

Bagaimanapun, sesetengah warga Mesir, mencurigai Morsi dan kumpulan yang diwakilinya. Sentimen anti-Ikhwan, telah berkembang dalam kalangan media dan beberapa ahli kumpulan pembangkang sejak kebelakangan ini.


MORSI mewarisi pemerintahan Mesir yang penuh dengan kacau-bilau selain beban hutang berbilion dolar.


Kemenangan tipis Morsi ke atas Ahmed Shafiq, bekas perdana menteri sebelum ini juga sedikit sebanyak memberi isyarat bahawa Mesir akan menjadi sebuah negara yang sukar disatukan di bawah idea pemerintahan Ikhwanul Muslimin.

Kenyataannya bahawa seorang lelaki yang pernah berkhidmat sebagai perdana menteri terakhir untuk Hosni kalah dengan hanya perbezaan 3.4 peratus ditangan wakil Ikhwanul Muslimin membuktikan betapa masih kuatnya pengaruh Hosni di Mesir.