Pekin kongsi kisah hidup


PEKIN semasa sesi dialog pelancaran Memoir Bukan Memoir sambil ditemani rakan baiknya, Danny, yang bersama-sama beliau merantau ke Kuala Lumpur.


SUNGGUHPUN bergelar pelakon, Pekin Ibrahim rupa-rupanya menyimpan hasrat mengarang buku. Impian itu ternyata bukan suatu angan apabila baru-baru ini aktor itu telah melancarkan hasil nukilannya yang berjudul Memoir Bukan Memoir di Galeri Annex, Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Tampil santai dan bersahaja, Pekin ketika sesi dialog berjaya menarik perhatian pengunjung dengan membawa kisahnya kepada umum, hinggakan pengacara majlis berseloroh bahawa hampir keseluruhan kisah buku itu diceritakan semula oleh Pekin sepanjang majlis pelancaran itu.

“Ini bukan biografi. Selepas berbual dengan beberapa pelakon yang masih baharu dalam industri seni ini, rata-rata daripada mereka mengadu berputus asa dengan tawaran yang diperoleh. Mereka rasa sukar untuk mendapat job (tawaran kerja),” katanya.

Hal itu menjadi pencetus kepada Pekin untuk berkongsi cebisan pengalamannya sebagai motivasi, bukan sahaja kepada pelakon malah sesiapa sahaja yang dapat memanfaatkan coretannya.

Buku itu secara rumusannya menjadi pengukur kehidupan paling sukar yang pernah dilalui Pekin ketika dia remaja hingga menceburkan diri dalam dunia hiburan tanah air.

Perjalanan hidup

Pekin menamatkan pelajaran di tingkatan tiga di sebuah sekolah Arab di Kelantan dan selepas itu dia merantau ke Kuala Lumpur bersama rakannya, Danny X-Factor. Kisah dalam buku itu bermula seawal Pekin berusia 15 tahun hingga dia mendapat ‘restu’ bidang industri seni tanah air pada usia 20 tahun. Cerita mengenai liku-liku perjalanan hidupnya demi bergelar penggiat seni disampaikan secara telus.

“Memoir seharusnya menceritakan kisah seorang tokoh yang mengubah sejarah negara atau melakukan sesuatu yang besar. Oleh kerana saya bukan tokoh dan tidak mengubah sejarah negara, saya namakan buku ini ‘memoir tetapi bukan memoir’,” katanya sambil senyum.

Buku itu turut mendedahkan tentang pengarah Silver Chong yang memberi peluang kepada Pekin mencebur diri dalam industri filem dan pengalaman uji bakat yang dilaluinya melalui Pendekar (2000).

Bekal RM50

Pekin juga berkongsi cerita kedatangannya ke Kuala Lumpur buat kali pertama yang hanya berbekalkan wang RM50. Bagi menyara keperluan kewangannya, dia terpaksa bekerja di restoran makanan segera A&W di Petaling Jaya.

“Ketika itu saya tidak mahir berbahasa Inggeris dan perkataan pertama yang diajar untuk diucapkan kepada pelanggan, ‘Hello sir, welcome to A&W. Having here or take away?’. Berbelit-belit lidah saya belajar ayat itu,” ujarnya yang disambut gelak tawa hadirin.

Sambungnya lagi, dia percaya pembaca akan memahami dan bijak menilai kandungan buku penulisannya yang dikarang dengan mood ringan untuk memudahkan penerimaan.

Karya sulung Pekin itu secara tidak langsung bercerita tentang dugaan dan rintangan yang dihadapi olehnya lantas telah menjadikan dirinya lebih matang dan menginsafi kesalahan.

Pekin yang mengarang buku tersebut sejak tahun 2009 percaya ia mampu membawa perubahan dalam pemikiran pembaca khususnya remaja.

Buku Memoir Bukan Memoir terbitan Merpati Jingga itu boleh dibeli pada harga RM30 di kebanyakan kedai buku.