Citra Raya M. Nasir

DATUK M.NASIR berkongsi cerita lebarannya sewaktu sesi fotografi di Galeri RA Fine Arts sambil melihat lukisan rakan-rakannya. Nasir mengakui dia masih melukis sekiranya mempunyai kelapangan waktu.


SEPERTINYA sebuah orde jiwa setiap kali menjelang 1 Syawal, lagu Satu Hari Di Hari Raya menjadi halwa telinga wajib di Aidilfitri. Kedengaran sahaja intro lagu ciptaan Datuk M. Nasir tersebut dengan seruling meniup roh kemunculan Syawal, sudah terasa bagaikan dekat dengan sebuah lembaran perayaan.

"Lagu Satu Hari Di Hari Raya itu dibuat dengan spontan. Masa itu terfikir mahu buat lagu raya yang berlainan sikit, tidak sebut ketupat dan rendang," M. Nasir memulakan bicara.

Lalu tema perhubungan dan kekeluargaan diangkat dalam lagu raya yang sudah berusia lebih 30 tahun ini. M. Nasir menggambarkan Satu Hari Di Hari Raya ialah lagu yang mempromosikan hubungan di hari raya, silaturahim antara anak dan orang tua juga sesama famili.

Jelasnya, Satu Hari Di Hari Raya berbeza dengan lagu-lagu pada zamannya kerana ketika itu lagu hari raya didendangkan dengan masakan atau suasana raya.

Dirakam dalam dua versi, lagu tersebut dirakamkan di Studio Lion Singapura pada tahun 1982 selama enam jam.

"Versi awal lagu itu hanya versi gitar. Versi kedua ditambah bunyi seruling," terang M. Nasir.

Apabila masuk minggu kedua bulan puasa, lagu Satu Hari Di Hari Raya adalah antara lagu wajib dimainkan di corong radio bagi membangkitkan mood beraya.

Namun ujar M. Nasir, dia sebenarnya memiliki 10 buah lagu raya lain yang turut dimainkan di radio walaupun tidak sekerap Satu Hari Di Hari Raya.

"Antara lagu lebaran yang saya hasilkan ialah Selamat Hari Raya (Ramlah Ram), Esok Hari Raya (Dr Sam dan dirakam kembali oleh Nico), Salam Dunia (M.Nasir), Halaman Asmara (Awie dan Ziana Zain), Raya Yang Sempurna (Awie), serta lagu buat Al-Jawaher dan Sheqa)," kata M. Nasir cuba mengingatkan lagu-lagu lebarannya termasuk yang terbaharu Pening Raya nyanyian dirinya bersama Salleh Yaacob.

Berzanji di hari raya

Ujar bapa kepada enam orang cahaya mata itu, raya dahulu dan sekarang banyak bezanya.

"Saya pernah menyambut Syawal dalam banjir tetapi tetap beraya sebab semangat nak beraya tu memang kuat," ceritanya yang terlupa tahun yang tepat kejadian tersebut berlaku.

"Semangat raya Singapura lebih kuat saya rasa. Kami naik lori ramai-ramai untuk beraya. Malah naik lori juga untuk marhaban beramai-ramai sempena raya. Semua rumah di kampung saya pergi sampai habis suara," ketawanya mengingat zaman yang berlalu tersebut.

"Kini raya adalah tentang makan (ketawa). Juga bersyukur kerana dapat beraya lagi dan dapat menemui Syawal," senyumnya manis.

Tambahnya, makanan dahulu lebih eksklusif berbanding zaman sekarang. Juadah yang disediakan pada pagi Syawal hanya terdapat pada bulan lebaran tersebut. Berbanding sekarang lemang dan ketupat boleh didapati di mana-mana.

"Makanan sudah hilang warna eksklusifnya. Mana-mana boleh dapat. Dahulu, kalau nak minum air gas seperti Green Spot kena tunggu raya," kenangnya.

"Bangun pagi, selepas selesai solat raya dan bermaafan, paling nak rasa tentulah masakan hari raya. Tetapi sekarang makanan raya sudah dapat masa bulan puasa pun," katanya tentang satu kehilangan hari raya.

Fiksyen dan realiti

Menyuntik sedikit elemen dakwah atau kerohanian apabila menyebut tentang hari kebesaran umat Islam, M. Nasir memberikan pendapatnya yang tersendiri.

"Lagu-lagu dakwah atau kerohanian dalam dunia ini ada unsur-unsur yang mempunyai refleksi kepada hidup manusia. Ada yang cenderung keagamaan. Ada yang berteraskan isu moral dan ada yang suka bercerita tentang ke arah sempurna," ungkai M. Nasir tentang elemen kerohanian tidak kira bangsa.

Menurut M. Nasir, lagu dan lirik apa yang dilakarkan untuk dirinya adalah berbentuk falsafah atau apa yang difikirkan.

"Untuk orang lain, saya lebih bercerita tentang perjalanan mereka. Contohnya, Search dan Wings yang rock serta rascal," ceritanya yang mengambil masa setengah jam menulis lirik jika fokus 100 peratus.

"Sebanyak 60 peratus daripada lirik ciptaan saya sebenarnya bercerita tentang pengalaman sendiri. Lagu Sejati contohnya bercerita tentang khayalan zaman kanak-kanak," ketawanya yang mengatakan bahawa imaginasi penulis lirik perlu kuat berdasarkan pembacaan dan pengamatan.