Polis akan tempatkan balai bergerak


ZAKARIA (dua dari kiri) bertanyakan sesuatu kepada seorang peniaga dalam lawatannya ke premis perniagaan di Segambut semalam.


KUALA LUMPUR - Sebuah balai polis bergerak akan ditempatkan di kawasan perindustrian Taman City, Segambut di sini dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, tindakan itu adalah sebahagian daripada langkah pencegahan jenayah yang akan diambil selain meningkatkan kekerapan rondaan.

"Ini adalah inisiatif pihak kami untuk menjamin keselamatan peniaga dan penduduk di kawasan itu susulan daripada kes samun yang pernah dilaporkan sebelum ini," katanya ketika dihubungi selepas meninjau kawasan Segambut semalam.

Beliau mengulas laporan Kosmo! semalam mengenai keluhan kira-kira 40 peniaga di kawasan perindustrian itu yang bimbang dengan ancaman jenayah sehingga ada antara mereka terpaksa melakukan urusniaga menerusi celah-celah jeriji kedai masing-masing.

Jelas Zakaria, tahap keselamatan kawasan itu masih terkawal dengan sepanjang Jun lalu hingga kini hanya lima kes jenayah dilaporkan.

Beliau bersama beberapa pegawainya turut meluangkan masa kira-kira dua jam meninjau kawasan itu sambil bersemuka dengan para peniaga terbabit bagi mendapatkan maklum balas mereka terhadap ancaman jenayah setempat.