Baju T khat kufi


FRASA yang dicetak pada setiap baju T ini membawa mesej dakwah berbentuk moden.


MELAHIRKAN imej berteras Islamik kebiasaannya memerlukan pakaian berkonsep tipikal. Jubah dan baju Melayu antara item wajib seorang lelaki yang mahukan penampilan Islamik.

Namun, pengenalan baju T dengan cetakan kaligrafi jawi menerusi teknik khat kufi, kaum Adam berupaya melebarkan lagi pilihan gaya mereka. Biarpun ringkas berbaju T, tulisan khat kufi yang terpampang pada pakaian itu mudah memikat anak-anak muda.

Menerapkan konsep dakwah secara moden, baju T keluaran Kufi Art Resources itu masih berada di peringkat pengenalan. Lima rekaan pertama mereka sudah mula dijual secara dalam talian bermula Jun lalu.

Frasa seperti Jom Solat, Peace Be Upon You, Muslim By Name Muslim By Nature dan mencerminkan konotasi positif yang dirasakan sesuai dengan ciri-ciri golongan belia tempatan.

“Kebanyakan remaja hari ini gemarkan baju T yang mengandungi cetakan dan tulisan yang tidak berfaedah. Kami cuba menyampaikan mesej yang baik melalui baju T sebegini dan berharap ia mampu mencipta trend tersendiri kelak.

“Setakat ini sambutan yang kita terima memang datang daripada kelompok muda berusia 30 tahun ke bawah. Kami tidak menggunakan ayat-ayat al-Quran sebaliknya mengolah ayat-ayat bahasa Melayu dan bahasa Inggeris ke dalam bentuk khat kufi.

“Buat masa ini, kami hanya mengeluarkan baju T berwarna hitam dengan paduan warna bersesuaian bagi membentuk tulisan,” jelas pengasas Kufi Art Resources, Ahmad Shah Heezam Abu Bakar, 38.

Menggunakan 100 peratus fabrik kapas, baju T tersebut hanya disediakan dalam lengan pendek, manakala saiz bermula dari M (Medium) sehingga XXL (Double Extra Large). Setiap helai baju T itu dijual pada harga RM30.