Getaran tali sape jentik emosi



KELUNAKAN bunyi sape seringkali diiringi tarian Orang Ulu di Sarawak untuk menyambut kedatangan tetamu.

JIKA kanak-kanak lain lebih gemar menghabiskan usia mereka dengan bermain alat permainan seperti kereta dan patung, namun lain pula pengalaman Ainal Bustari Johari, 23, ketika zaman kecilnya.

Pada usia lapan tahun, anak jati Kuching, Sarawak itu lebih gemar bermain alat-alat muzik tradisional memandangkan bapanya, Johari Morshidi, 50, seorang ahli muzik perkusi di Kampung Budaya Sarawak, Santubong, Sarawak.

Biarpun tidak mahir mengendalikan alat-alat permainan itu namun dia tetap bermain secara bersendirian di rumah tanpa tunjuk ajar bapanya.

Pada setiap hari, dia akan mengambil apa sahaja peralatan yang terdapat di dalam rumahnya. Tidak kira serunai, gendang, rebana, mahupun sape (instrumen petikan dalam masyarakat Ulu, Sarawak). Pendek kata, apa sahaja alat muzik yang ada di rumahnya, dia akan mencuba.

Bagaimanapun, minat untuk mengenali alat-alat tradisional itu tidak pernah dipaksa bapanya. Keinginan itu terbit daripada pengaruh bapa dan pak ciknya yang gemar bermain alat muzik tradisional termasuk sape di rumah sebagai latihan sebelum mengadakan persembahan.

Menceritakan lanjut mengenai alat muzik tradisional, anak sulung daripada tiga adik-beradik itu berkata, dia seringkali mendengar kelunakan petikan muzik sape yang dimainkan bapa dan pak cik-pak ciknya.

“Mereka akan bermain sape secara ramai-ramai. Dari situlah, saya rasa sape mempunyai keunikan tersendiri kerana alunan muziknya membuatkan seseorang itu berasa lebih tenang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di ibu negara baru-baru ini.

Bertutur lanjut, Ainal memberitahu, sejak itu dia mula mendengar dan melatih dirinya belajar sape.


KELUNAKAN bunyi sape seringkali diiringi tarian Orang Ulu di Sarawak untuk menyambut kedatangan tetamu.


Meskipun tidak begitu mahir, sekurang-kurangnya dia boleh memetik tali sape dan mampu mengeluarkan melodi yang sedap.

Secara jujurnya, Ainal memberitahu, dia tidak pernah serius untuk belajar bermain sape sehinggalah dua tahun yang lalu.

Dengan berbekalkan sedikit pengalaman, dia sekadar suka-suka menyertai persembahan menunjukkan bakat bermain alat muzik tradisional yang diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.

Beranikan diri

Ainal yang juga merupakan pelajar jurusan Diploma Muzik dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu buat julung-julung kalinya mengadakan persembahan sape di UPM.

Berikutan dorongan rakan-rakannya, dia memberanikan diri menjadi wakil Sarawak untuk membuat persembahan sape.

“Majlis tersebut diadakan untuk memperkenalkan alat muzik tradisional. Tanpa berfikir panjang, saya menyertai persembahan itu sedangkan saya tidaklah terlalu mahir bermain sape,” akuinya.

Tambahnya, membuat persembahan tanpa mempunyai selok-belok teknik membuatkannya berasa gementar. Begitupun, dia mengetepikan perasaan itu demi kelancaran persembahan.

“Saya sendiri tidak sangka apabila menerima sorakan gemuruh daripada penonton yang hadir ke persembahan itu. Nyata, mereka kelihatan teruja dengan persembahan alat muzik sape,” katanya sambil tersenyum.

Sebaik tamat persembahan, kawan-kawan tidak putus-putus menasihatkan saya supaya tidak lupa untuk bermain sape dan terus mempelajari tekniknya dengan lebih mendalam.

Sejak hari itu, Ainal mula menumpukan alat permainan tradisional masyarakat Ulu yang dikatakan begitu unik dan mempunyai nilai seni yang tinggi.


ZAMZAHARMAN (dua dari kanan) pernah mengadakan persembahan sape pada majlis ASEAN Korean Traditional Orchestra pada tahun 2010.


Keunikan sape

Bagi Ahli Muzik Orkestra Tradisional Malaysia, Zamzaharman Mohamad Zambrin, 43, beliau mengakui petikan muzik sape mempunyai keunikan tersendiri.

Biarpun dipetik dengan apa cara sekalipun, alunan dari alat muzik sape itu tidak akan menghasilkan bunyi sumbang sebaliknya setiap satu petikan sape mampu memberi getaran yang menyentuh perasaan pendengarnya.

Beliau yang sudah berjinak-jinak dengan peralatan itu sejak 19 tahun berkata, alat muzik itu berbeza berbanding dengan alat muzik lain.

Misalnya, alat muzik seperti gitar, jika tidak kena pada notnya, ia akan menghasilkan melodi yang tidak sedap. Bagi sape pula, walaupun menekan pada mana-mana bahagian pada tali sape, ia tetap menghasilkan bunyi lunak dan harmoni dengan not-not bunyi sebelum dan seterusnya.

Beliau merupakan ahli pemuzik Flute dan Caklempong dan turut menjadi jurulatih di Istana Budaya.

Menceritakan lanjut mengenai alat muzik itu, anak jati Lenggeng, Negeri Sembilan itu memberitahu, mempelajari sape sebenarnya mudah memandangkan tidak mempunyai banyak teknik.

Beliau yang mempelajari sape menerusi seorang guru yang berasal dari Ulu dari kaum Kayan, Sarawak di Pusat Pinang Kasih, Pulau Pinang pada tahun 1993 berkata, seseorang individu itu boleh menguasai sape sekiranya mempunyai minat.

Ubah suai

Selain itu, beliau menjelaskan skil pentatonik yang digunakan juga menyebabkan ia tidak sukar untuk dipelajari. Pentatonik merujuk kepada tangga nada dengan skala skala lima not per oktaf.

Jelas beliau, dengan menggunakan skil pentatonik sahaja ia sebenarnya tidak dapat berkembang dengan meluas.

Menyingkap sedikit pengalaman ketika mengadakan persembahan Asean Korean Traditional Orchestra pada tahun 2010, beliau sedar alunan muzik sape dengan menggunakan skil pentatonik menyebabkan muzik tersebut tidak dapat menembusi keserasian dalam kebanyakan lagu.

Sebaik pulang dari Korea, timbul idea untuk mengubah suai sape supaya alunan muzik dari peralatan itu boleh dibawa masuk ke dalam kesemua lagu baik moden mahupun tradisional.


KUMPULAN ahli Muzik OTM membuat persembahan di Korea.


Dengan menggunakan kreativiti sendiri, beliau menukar sifat sape dari menggunakan skala pentatonik ke skala kromatik (skala yang berjarak setengah nada, seperti A,A#,B,C,C#,D, dan seterusnya) dengan menggunakan gitar.

“Skil itu boleh digunakan untuk memainkan semua lagu sekali gus tidak membataskan instrumen istimewa itu untuk dimainkan dalam majlis besar terutamanya orkestra,” jelas beliau yang merupakan satu-satunya pemilik sape yang menggunakan skil kromatik.

Sementara itu, pemain sape terkenal, Jerry Kamit turut mengakui alat muzik tersebut kini diubah suai untuk menarik minat golongan muda.