Raudhah Di Hatiku kembali


BARISAN selebriti yang terlibat dengan Raudhah Di hatiku musim baharu bergambar pada majlis sidang akhbar pelancaran program tersebut baru-baru ini.


SEKALI lagi TV9 melalui jenama Raudhah Di Hatiku akan mengimarahkan masjid sekitar Lembah Klang dan Selangor di samping mengambil inisiatif memperkenalkan masjid sebagai hab komuniti para remaja dan masyarakat setempat.

Kata Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar mengenai acara itu: “Raudhah Di Hatiku akan menjadi acara tahunan stesen TV9 berikutan menerima impak positif ketika penganjuran kali pertama tahun lalu.”

Pelbagai program menarik disediakan sepanjang acara padang Raudhah Di Hatiku buat penganjuran kali kedua tahun ini antaranya Tanyalah Ustaz, Tanyalah Ustazah, Halaqah, Semanis Kurma, Usrah dan Safiyya.

Menurut Pengurus Penjenamaan Kumpulan TV9, Mazliffah Ismail pula, pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk mengeratkan ukhuwah antara satu sama lain dan paling utama untuk menjinakkan para remaja kepada masjid.

“Sepanjang acara berlangsung pelbagai aktiviti menarik boleh disertai pengunjung yang hadir antaranya siaran langsung Nasi Lemak Kopi O (NLKO), rakaman program 4 dan hafazan, pembukaan khemah Lin Nisa yang menyediakan pelbagai aktiviti khas untuk wanita sahaja, persembahan nasyid kumpulan Al-Mawlid, jualan bazar cufica, kanvas dan kaligrafi serta banyak lagi,” katanya yang ditemui ketika sidang akhbar pelancaran Raudhah Di Hatiku di Sri Pentas baru-baru ini.

Menarik kali ini, pihaknya menyediakan khemah tertutup Lin Nisa khusus buat muslimah sahaja untuk melakukan pelbagai aktiviti termasuk peragaan fesyen tudung terbaharu, cara memakai tudung dan skaf, jubah malah beberapa aktiviti lain yang ternyata bermanfaat.

Sementara itu, Penerbit Program Dokumentari dan Majalah Primeworks Studios Sdn. Bhd., Ahmad Noor Sulaiman berkata, acara Raudhah Di Hatiku secara tidak langsung mengubah persepsi orang ramai terutama golongan bukan muslim akan kepentingan masjid sebagai hab sejagat yang bersifat penyatuan.

“Ramai yang kurang faham akan kepentingan masjid sebagai lokasi pertemuan yang menyatukan pelbagai kelompok masyarakat dan program seumpama ini memacu tujuan ke arah itu sebenarnya. Lantas ia mengetepikan persepsi masjid yang hanya dianggap sebagai tempat beribadat sahaja,” ujarnya.

Tambahnya sokongan tidak jemu dan padu daripada golongan selebriti untuk menjayakan acara itu pada tahun lalu memberikan peluang sekali lagi tahun ini untuk pengunjung bertemu dengan beberapa orang selebriti tempatan yang akan hadir meluangkan masa sepanjang acara tahun ini.

Antara selebriti yang akan hadir terdiri daripada Saiful Amir Abdul Wahab (Pot Innuendo), Lah VE, Zaf VE, Azan Ruffedge, Amer Ruffedge, Amer Munawer, Yatt Hamzah, Diana Amir dan kumpulan hijabista Scarlets yang diwakili Maria Elena.

Maka jangan ketinggalan untuk datang beramai-ramai ke tiga buah masjid terpilih sekitar Lembah Klang dan Selangor untuk merasai kemeriahan aktiviti yang telah disediakan bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang pada setiap hari Sabtu sepanjang tiga minggu.

Tiga masjid tersebut adalah Masjid Al-Hidayah Taman Melawati (8 September),Masjid Al-Falah, USJ 9, Subang Jaya (29 September) dan Masjid As-Salam, Puchong Perdana (13 Oktober).