PLUS kenal pasti kawasan tambah R&R

16/09/2012 3:29pm

BUKIT GANTANG - PLUS Malaysia Bhd (PLUS) sedang mengenal pasti lokasi sesuai menambah bilangan kawasan rehat dan rawat (R&R) bagi memenuhi keperluan pengguna lebuh raya yang semakin meningkat.

Pengarah Urusan dan Ketua Pengawai Eksekutif PLUS Datuk Noorizah Abdul Hamid berkata kesemua 24 R&R sedia ada milik PLUS tidak lagi dapat menampung jumlah pengguna lebuh raya terutama pada musim perayaan dan cuti sekolah.

Beliau berkata ketika ini, bilangan pengguna Lebuhraya PLUS adalah 1.1 juta sehari dan jumlah itu meningkat kepada 1.4 juta pada musim perayaan dan cuti sekolah.

"Pada masa ini kita masih mengkaji lokasi strategik membina R&R yang baru dan kita juga akan menaik taraf R&R sedia ada secara berperingkat, katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah R&R Berhias dan Kereta Merdeka Terbaik di Hentian Sebelah Bukit Gantang (arah Selatan) di sini, hari ini. - BERNAMA