Osman Ali kecewa tiada bonus


OSMAN ALI terkilan tidak diberikan perhargaan yang sewajarnya selepas menghabiskan kudrat tenaga fizikal dan kreativiti sehingga filem Ombak Rindu meraih kutipan mencecah RM10 juta.


FILEM Ombak Rindu yang diadaptasi daripada novel karya Fauziah Ashari sememangnya menjadi fenomena dalam industri filem tempatan apabila ia ditayangkan pada 1 Disember 2011.

Jumlah kutipan filem tersebut juga amat tinggi dengan hasil kutipan pecah panggung melebihi RM10 juta. Bagi sebuah filem tempatan, ia merupakan satu gelombang fenomena yang cukup baik.

Kini, hampir 10 bulan berlalu sejak bermula tayangannya, tiba-tiba muncul isu pembahagian bonus terhadap keseluruhan produksi yang belum dilaksanakan.

Isu itu terbongkar apabila pengarah filem Ombak Rindu sendiri, Osman Ali dikatakan masih menuntut bonus yang dijanjikan secara lisan oleh pihak penerbit iaitu Tarantella Pictures.

Kepada Kosmo!, Osman meluahkan tentang perkara berbangkit.

Kosmo!: Boleh komen tentang gosip kononnya Osman masih menuntut bonus yang dijanjikan selepas hampir 10 bulan filem Ombak Rindu mula ditayangkan?

OSMAN ALI: Memang benar kerana ia pernah dijanjikan oleh pihak penerbit untuk memberi bonus kepada semua yang terlibat dalam pembikinan filem Ombak Rindu. Namun, perjanjian tersebut hanya secara lisan dan bukannya tertera dalam kontrak perjanjian. Secara lisan, penerbit memberitahu jika filem tersebut mendapat kutipan lebih RM8 juta, kami bakal diberikan bonus. Filem tersebut kini telah mendapat kutipan melebihi RM10 juta. Namun, sehingga ke hari ini, masih belum mendapat respons terhadap perjanjian lisan tersebut. Saya akui agak terkilan dan kecewa, tapi tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia memang tiada dalam kontrak. Jadi, memandangkan ia sebenarnya tiada dalam kontrak, saya kalau boleh tidak mahu kecohkan keadaan.

Mungkin jika tidak keberatan, boleh dedahkan berapa jumlah yang dijanjikan?

Sebenarnya mereka tidak memberitahu berapa jumlah bonus yang ingin diberikan. Hanya bercakap mulut ke mulut sahaja, tiada sebarang perjanjian dalam kontrak. Bukannya saya terlalu terdesak mahukan wang tersebut, tapi ia tentang penghargaan terhadap kami. Saya juga bukan berasa marah, ingin memboikot atau yang seumpamanya. Ini sebenarnya perkara lama, terkejut juga saya bagaimana ia boleh muncul semula.

Benar atau tidak tentang dakwaan anda menolak untuk bekerjasama lagi bersama Tarantella Pictures untuk mengarah filem yang juga adaptasi daripada novel, Pilot Café kerana isu bonus tersebut?

Memang ada (tawaran), tapi saya tidak kata saya menolak tawaran tersebut. Namun saya harus berfikir secara positif. Jujurnya, saya mahu juga diberi penghargaan (bonus), walaupun tidak banyak, sedikit pun tidak mengapa. Industri ini kecil jadi kita perlu bijak membuat keputusan dalam situasi begini. Memang tidak dinafikan saya mungkin akan bekerjasama dengan Tarantella selepas ini. Namun, mungkin selepas ini saya akan lebih profesional dengan tidak hanya bergantung kepada perjanjian lisan sahaja.

Bagaimana pula dengan Pilot Café. Adakah anda akan akan jadi pengarah filem itu nanti?

Saya akan mempertimbangkan tawaran tersebut untuk terima atau tidak. Ini kerana saya memang mempunyai hubungan yang baik sama ada dengan Tarantella mahupun Ahadiat Akashah selaku penulis naskhah dan skrip filem Pilot Café. Dia sememangnya mahu saya yang mengarah filem tersebut.

Jadi, maknanya anda akan terus bekerjasama dan mengarah filem bersama Tarantella?

Jika ikutkan emosi, memang terkilan dan kecewa namun kita perlu profesional. Jika tanpa memikir sentimen, saya ingin kekalkan hubungan baik tersebut. Ini kerana Ombak Rindu memang sebuah projek yang bagus.