Malaysia pertahan mahkota juara


DR. RUJHAN (berdiri, kiri) dan Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin (kanan) bergambar bersama skuad silat Malaysia selepas majlis penyampaian hadiah Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa
Piala TPM 2012 di Square One, Batu Pahat, Johor semalam.


SEPERTI diramal, Malaysia muncul juara keseluruhan Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri (TPM) 2012 yang berakhir di Square One, Batu Pahat, Johor semalam.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Malaysia berjaya mempertahankan gelaran yang dimenangi tahun lalu selepas Singapura muncul edisi sulung kejohanan tersebut pada 2010.

Bagi edisi kali ini, Malaysia merekodkan 14 pingat emas, tiga perak dan lima gangsa, bagi meng- atasi Vietnam (dua emas, tiga perak, dua gangsa ) di tangga kedua, Thailand (dua gangsa) sekadar di tempat ketiga.

Jurulatih skuad silat Malaysia, Ahmad Faizal Abu Bakar berkata, kejayaan itu telah menguatkan lagi sasarannya untuk meraih empat pingat emas pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Laos, Disember depan.

“Alhamdulillah... kami bukan sahaja muncul juara keseluruhan, malah sasaran untuk melepasi pungutan 12 emas seperti tahun lalu juga berjaya dikecapi.

“Tetapi apa yang amat saya banggakan ialah semangat yang ditonjolkan oleh 28 pesilat negara sepanjang kejohanan ini,” kata Ahmad Faizal selepas majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Rujhan Mustafa.

Sementara itu, pesilat terbaik Putra Antarabangsa dimenangi oleh Mohammad Faizul M. Nasir yang beraksi bagi acara olahraga kelas B iaitu 50-55 kilogram (kg), manakala Siti Zubaidah Che Omar dinobat sebagai pesilat terbaik Putri Antarabangsa (Kelas D: 60- 65kg).

Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula diumumkan sebagai juara keseluruhan buat kali pertama bagi kategori antara institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan selepas memungut lapan emas, satu perak dan tiga gangsa.

“Walaupun tidak mencapai sasaran asal kami sebenar iaitu sembilan emas tetapi saya gembira apabila kami dinobatkan sebagai juara keseluruhan IPT Malaysia.

“Ini bermakna latihan yang kami lakukan sejak bulan Julai lalu menunjukkan hasil yang memberangsangkan,” katanya.

Anugerah pesilat terbaik IPT tempatan pula menjadi milik Muhammad Munawwar Shamsuddin (UiTM) dan Zaiton A. Koang (Universiti Pendidikan Sultan Idris).

Kejohanan itu merupakan anjuran bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UH- TM) dan Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka).