Kool pertahan masih relevan


DARI KIRI: Jay, Hairie, Riot dan Zack masih bersatu di bawah kumpulan Kool.


KUMPULAN Orang-Orang Lama atau singkatannya Kool yang cukup popular sekitar tahun 90-an yang disangka sudah berkubur sebenarnya masih wujud dalam dunia seni suara.

Buktinya kumpulan yang dianggotai oleh Riot, 40, Jay, 47, Hairie, 44, dan Zack, 39, telah bergabung dengan kumpulan Nico, Shades dan A To Z di bawah nama GX4 dan muncul dengan dua buah single berjudul Integriti dan Kerana Kasihmu serta dua buah lagu popular mereka iaitu Bebas dan Satu Arah.

Jika disebut kumpulan Kool, tidak sah jika persembahan mereka tidak diiringi dengan tarian yang rancak. Namun, selepas lebih sedekad masih sesuaikah muzik kumpulan Kool yang memerlukan mereka menari dengan usia yang sudah menjangkau angka 40-an?

Kumpulan Kool yang ditemui baru-baru ini nampaknya masih bersemangat untuk terus memperjuangkan muzik ciptaan mereka. Ikuti temu bual Kosmo! bersama kumpulan Kool.

Kosmo!: Apa yang membuat kumpulan Kool berasa perlu bangkit semula dalam industri seni suara?

HAIRIE(H): Sebenarnya kumpulan Kool tidak pernah berpecah, kami masih ada dan wujud sehingga hari ini. Namun, disebabkan komitmen kerja, kerjaya seni tergendala buat sementara waktu. Kini, gelombang K-pop menular ke Malaysia, jadi kami mengambil kesempatan itu kerana muzik yang kami perjuangkan sama sahaja dengan muzik K-pop.

Kumpulan Kool memang popular waktu dahulu, namun masih relevankah lagi muzik kalian dengan usia yang sudah mencecah angka 40-an?

JAY: Kami memang penari pada asalnya, jadi setiap persembahan kami tidak lengkap jika tiada tarian. Memang kami tidak akan menari seperti zaman muda, sebaliknya tarian disesuaikan dengan usia dan lagu yang dibawakan. Muzik Kool rasanya masih relevan sehingga sekarang kerana muziknya masih enak didengar walaupun zaman kami telah berlalu.

Seiring dengan penambahan usia, bagaimana kalian membuat persediaan untuk kembali ke pentas seni?

H: Sebenarnya sejak tahun 2010 lagi kami sudah membuat persediaan dengan mengasah semula vokal serta berlatih menari bagi mengembalikan tenaga kelincahan kami seperti dahulu. Walaupun berusia, kami tetap muda apabila di atas pentas (ketawa).

Bagaimana pula dengan penerimaan peminat apabila kumpulan kalian muncul semula?

H: Alhamdulillah, setiap kali kami buat persembahan ramai yang terkejut kerana tidak sangka kami masih aktif menyanyi. Ramai yang memberikan respons positif cuma kami kurang publisiti sahaja.

Perancangan terhadap kesinambungan kerjaya kumpulan kalian?

RIOT: Kemunculan semula kami bukan untuk suka-suka, sebaliknya serius dan kami juga dalam perancangan untuk melahirkan album terbaharu Kool. Sebarang maklumat mengenai kumpulan Kool peminat boleh layari laman web www.facebookmcom/kumpulankool.

Selain menyanyi apakah pekerjaan terkini kalian?

H: Kami semua ada perniagaan sendiri termasuk Jay yang mempunyai kedai makan. Zack masih aktif sebagai pemuzik. Pada usia begini, komitmen kami sangat besar kerana sudah ada keluarga masing-masing, jadi jika tidak menyanyi kami akan tumpukan perhatian pada perniagaan.