RV Discovery UMT belayar selepas tengkujuh

27/09/2012 1:17pm

KUALA TERENGGANU Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bakal melakar sejarah tersendiri apabila kapal RV Discovery miliknya dijadual membuat pelayaran sulung selepas musim tengkujuh ini.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Kamoo berkata, pelayaran itu dijangka dapat dilakukan sama ada akhir tahun ini atau awal tahun depan, bagi menjalankan penyelidikan di perairan Malaysia.

"Kapal itu akan dilengkapi dengan alatan asas penyelidikan lautan dan kita akan membawa penyelidik dari universiti lain dalam penyelidikan berkaitan samudera serta beberapa pihak lain.

"Setiap ekspedisi pelayaran penyelidikan akan memakan masa seminggu atau dua minggu dan kita akan singgah di setiap pelabuhan di negara ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam UMT Bersama Media, di sini malam tadi. BERNAMA