RM50 juta cari emas Olimpik

CHONG WEI (kiri) dan Pandelela antara atlet negara yang cukup menyerlah pada Sukan Olimpik 2012 di London baru-baru ini.


SEBANYAK RM50 juta diperuntukkan bagi tempoh empat tahun, bermula tahun ini, bagi persiapan program ‘Road to Rio’ menjelang Sukan Olimpik di Rio de Janiero, Brazil pada 2016.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan sentiasa memberi penekanan dalam memastikan pembangunan sukan dilaksanakan secara berterusan.

“Atlet seperti Datuk Lee Chong Wei (badminton), Pandelela Rinong Anak Pamg (terjun), Datuk Nicol Ann David (skuasy) dan Mohd. Azizulhasni Awang (berbasikal) adalah antara wira dan wirawati sukan yang dikagumi. Pencapaian mereka di peringkat antarabangsa cukup membanggakan.

“Sehubungan itu, bagi tahun 2013, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM738 juta bagi pembangunan belia dan sukan,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2013 di Dewan Rakyat, semalam.

Program ‘Road to Rio’ adalah kesinambungan daripada program ‘Road To London 2012’ yang bertujuan mencari pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik.

Di bawah program ‘Road to London’ sebanyak RM20 juta diperuntukkan namun Malaysia hanya memperoleh satu pingat perak menerusi Chong Wei dalam acara badminton perseorangan lelaki dan satu pingat gangsa melalui Pandelela menerusi acara terjun 10m platform.

Najib berkata, sebanyak RM15 juta juga diperuntukkan bagi mempersiapkan atlet negara ke kejohanan sukan antarabangsa termasuk Sukan SEA 2013 di Myanmar, Sukan Para ASEAN 2013 (Myanmar), Sukan Komanwel 2014 di Glassgow, Scotland and Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Kerajaan akan membina sebuah velodrom tertutup di Seremban dan akademi badminton di Bukit Kiara dengan peruntukan sebanyak RM80 juta.