Penerbit filem hina Nabi Muhammad SAW tukar nama


NAKOULA kini dikenali sebagai Youssef.


LOS ANGELES - Pihak pendakwa raya persekutuan di sini menyatakan, penerbit filem Innocence of Muslims, Nakoula Basseley Nakoula kini menggunakan nama lain yang diiktiraf undang-undang Amerika Syarikat (AS).

Penolong Peguam Negara AS, Robert Dugdale kelmarin berkata, Nakoula, 55, kini dikenali sebagai Mark Basseley Youssef.

Nama itu terdapat dalam rekod mahkamah.

Beberapa dokumen mahkamah yang difailkan di Mahkamah Tinggi Daerah Orange menunjukkan dia diberikan hak menukar nama pada 2002.

Nama penerbit tersebut ditukar kepada Youssef kerana Nakoula ialah nama seorang perempuan dan ia mencetuskan masalah kepadanya.

Youssef dihadapkan ke sebuah mahkamah di sini pada Khamis lalu selepas pihak berkuasa menyatakan dia melanggar syarat-syarat pembebasannya.

Lelaki itu dibebaskan pada Jun 2011 setelah menjalani hukuman penjara selama 21 bulan kerana didapati bersalah menipu bank pada 2010.

Pendakwa raya Robert Dugdale berkata, dia dituduh melakukan lapan kesalahan termasuk membuat kenyataan palsu kepada para pegawai perunding cara dan menggunakan tiga nama yang berlainan.

Hakim Suzanne Segal turut memutuskan lelaki tersebut ditahan tanpa dibenarkan diikat jamin kerana bimbang dia akan melarikan diri selain dianggap berbahaya kepada masyarakat.

Dia ditahan di Pusat Tahanan Metropolitan di sini.

Youssef yang merupakan penganut Kristian Koptik akan ditahan sehingga seorang hakim memutuskan sama ada dia melanggar syarat-syarat pembebasannya.

Dia yang berketurunan Mesir kini merupakan warga AS.

Youssef menyembunyikan diri pada 15 September lalu sebelum ditangkap pada Khamis lalu.

Rumahnya di Cerritos di sini kini menunggu pembeli baharu.

Filem yang menghina Nabi Muhammad SAW itu telah menyebabkan tunjuk perasaan ganas berlaku di beberapa buah negara sehingga mengakibatkan 50 orang mati baru-baru ini. - Agensi