Mada perlu RM200j untuk kerja atasi banjir

30/09/2012 6:16pm

PENDANG Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) memerlukan RM200 juta untuk membuat beberapa lencongan di Sungai Pendang dan Sungai Tiang Gerap di sini bagi mengalirkan air keluar dalam usaha mengelak banjir.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum berkata, lencongan akan dibuat ke beberapa anak sungai memandangkan setiap kali musim hujan, kedua-dua sungai itu sering melimpah.

"Mada telah mengkaji masalah ini dengan teliti dan akan mengemukakan justifikasi permintaan itu kepada kerajaan persekutuan untuk mendapatkan wang sebanyak RM200 juta bagi melaksana rancangan itu, katanya kepada pemberita semasa melawat sawah padi yang ditenggelami banjir di Kampung Panchor, Kuar Kepayang, di sini hari ini.

Mohd. Johari berkata, hujan lebat yang turun sejak 25 Sept hingga 27 Sept lepas merosakkan 827 hektar sawah padi dalam kawasan Mada dengan 376 kawasan ialah di Pendang melibatkan anggaran kerugian RM4 juta.

Beliau berkata, Mada akan membuat bancian menyeluruh untuk mendapat maklumat lengkap kerosakan yang dialami bagi membolehkan bantuan sewajarnya disalur kepada petani berkenaan.

"Kami akan bagi bantuan secepat mungkin supaya mereka dapat menanam semula, katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu. BERNAMA