Dendam Sarakit cabar Zain


PERTAMA kali berganding, Zain dan Fouziah membawa peranan sebagai suami isteri.


PELAKON Zain Hamid yang lebih dikenali sebagai Zain Ruffedge nampaknya semakin aktif dalam bidang lakonan berbanding nyanyian. Bapa kepada seorang anak itu memberitahu buat masa ini dia lebih selesa bekerja di belakang tabir pembikinan sebuah album dan lagu.

Sedar realiti kerjaya nyanyiannya tidak seperti awal kemunculan kumpulan Ruffedge, kata Zain dia menerima apa sahaja rezeki yang datang kepadanya.

“Tawaran berlakon semakin banyak, jadi lebih baik saya menumpukan satu bidang terlebih dahulu. Bidang nyanyian tetap cinta saya yang pertama, tetapi disebabkan saya sudah terbiasa menyanyi dalam kumpulan, rasa kurang selesa pula untuk bergerak secara solo.

“Perancangan untuk kembali ke pentas nyanyian itu memang ada, tetapi belum tiba masanya. Bagi saya bidang lakonan dan nyanyian tidak banyak bezanya, janji saya mencari rezeki yang halal,” katanya yang kelihatan sedikit susut.

Sementara itu, bercakap tentang perkembangannya sebagai pelakon, Zain yang bakal muncul dengan filem Pengapit, KL Zombi dan Ngorat yang akan ditayangkan pada Oktober ini turut diberi kepercayaan oleh pengarah Fairuz Loy untuk memegang watak utama sebagai Rafiq dalam drama bersiri Dendam Sarakit.

Merupakan sebuah naskhah seram, dia berganding dengan pelakon Fouziah Gous yang menjadi isterinya bernama Sarakit.

Menurut Zain, dia sebenarnya tidak suka menonton drama atau filem seram sejak berusia 10 tahun kerana bimbang terbawa-bawa ketika tidur, justeru terlibat dalam drama Dendam Sarakit merupakan cabaran untuk dirinya.

“Saya bukan penakut, cuma saya tidak suka elemen terkejut yang ada dalam drama dan filem seram. Saya terima tawaran berlakon dalam drama ini kerana skripnya cukup menarik.


BARISAN pelakon Dendam Sarakit bergambar pada majlis sidang akhbar drama bersiri tersebut di Sri Pentas, TV3, Petaling Jaya baru-baru ini.


“Pada peringkat awal drama ini tidak ada hantu langsung, hanya pada penghujung cerita sahaja baru hantu muncul. Alhamdulillah, sepanjang penggambaran tiada kejadian pelik berlaku kepada saya,” ujarnya yang menjalani penggambaran di Betong, Thailand.

Bercakap mengenai gandingan sulung dengan Fouziah Gous, Zain menyifatkan pelakon jelita itu cukup profesional meskipun mereka tidak pernah bekerjasama sebelum ini.

“Dalam drama ini kami menjadi suami isteri. Saya sangkakan mungkin sukar mencipta keserasian memandangkan kami tidak pernah kenal antara satu sama lain.

“Bagaimanapun, sangkaan saya meleset apabila Fouziah bijak memberi lakonan dan keserasian. Tidak sukar untuk kami berlakon, semuanya berjalan dengan lancar,” luahnya.

Drama Dendam Sarakit berkisar tentang pasangan suami isteri iaitu Sarakit dan Rafiq yang berjanji untuk sehidup semati walau apa pun halangan mendatang. Namun, cinta Sarakit tidak kesampaian apabila dia ditimpa musibah kerana dirogol dan dibunuh ketika sedang hamil.

Apabila qarin Sarakit dipuja oleh Dina (Sharifah Sakinah) bagi tujuan menambat hati Rafiq, dia kembali membalas dendam terhadap orang-orang yang menyebabkan kematiannya.

Selain Zain dan Fouziah, drama yang menjalani penggambaran selama 32 hari itu turut dibintangi Sharifah Sakinah, Noniswara, Adam Shah dan Saiful Nizen telah mula ditayangkan pada 27 September lalu pada setiap Khamis, pukul 10 malam dalam slot Seram di TV3.