Harun mula pasang hajat besar


DARI kiri Norjannah, Siti Zubaidah, Nurul Sarah dan Yi Ling.


HARUN Rasheed Othman (gambar kecil) memasang impian yang besar sekiranya ditawarkan semula jawatan selaku jurula- tih skuad olahraga negara.

Harun berkata, jika diberi peluang, beliau mahu membentuk semula kuartet 4x100 meter wanita yang sebelum ini telah memecahkan rekod kebangsaan semasa di bawah kendaliannya.

Kuartet itu dibarisi Siti Zubaidah Adabi, Nor Jannah Hafi- zah Jamaludin, Yee Yi Ling dan Nurul Sarah Abdul Kadir.

Selepas 21 tahun, kuartet negara itu mempamerkan kebangkitan apabila berjaya mencatat rekod baharu, 45.33 saat yang dilakukan pada kejohanan olahraga Grand Prix (GP) Poland, Julai 2010.

Ia telah memadam rekod lama yang dicipta kuartet yang dibarisi Anita Ali, G. Shanti, Sajaratuldur Hamzah dan Mumtaz Jaafar dengan catatan 45.37s pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, hasrat bagi menyaksikan kuartet itu melangkah lebih jauh di pentas antarabangsa 'berkubur' begitu sahaja apabila keempat-empat mereka terlibat dengan skandal melarikan diri daripada menjalani ujian antidoping pada Mei tahun lalu.

"Memang saya masih menyimpan hasrat untuk menggandingkan mereka semula kerana mereka mempunyai potensi untuk melangkah lebih jauh lagi. Lagi pun, pada 2010 mereka merupakan kuartet kelima terbaik pada Sukan Asia di China.

"Jadi, jika saya dipanggil balik menjadi jurulatih, saya mahu membentuk semula gandingan mereka.

"Mungkin Yi Ling masih belum boleh beraksi kerana berehat selepas bersalin manakala saya percaya Zubaidah, Norjannah dan Siti Sarah masih mampu membarisi kuartet tersebut.

"Tempat Yi Ling pula boleh diisi oleh dua atlet muda daripada ATM (Angkatan Tentera Malaysia) iaitu Kumalam dan Noor Amirah. Jadi, tidak ada se- barang masalah untuk membentuk semula gandingan itu.

"Kedua-dua atlet tersebut memiliki cata- tan peribadi terbaik bagi membolehkan mereka diserap dalam kuartet 4x100m," kata Harun ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ekoran tindakan melarikan diri daripada menjalani ujian antidoping tahun lalu, kuartet tersebut terpaksa dibubarkan.

Ini sekali gus menyaksikan mereka gagal meneruskan pencapaian yang telah dilakar sebelum itu terutama bagi mengungguli saingan pada Sukan SEA 2011 di Indonesia.

Tempiasnya turut terkena kepada Harun apabila didakwa menjadi 'dalang' kepada tindakan rangkaian pelari tersebut melari- kan diri daripada menjalani ujian antidoping yang dijalankan oleh Institut Sukan Negara (ISN) sebagai prosedur sebelum berlatih di luar negara.

Akibatnya, beliau telah digantung selama setahun oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bermula pada 9 September 2011 hingga 9 September lalu.

Nasib kuartet itu pula masih belum diketahui sehingga kini kerana Agensi Anti- doping Dunia (WADA) telah mengheret kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berikutan keputusan KOM yang sekadar memberi amaran keras kepada mereka.

Dalam pada itu, Harun mengakui sedia menimbangkan tawaran pucuk pimpinan baharu KOM jika berminat mendapatkan khidmatnya semula sebagai jurulatih olahraga negara.

"Apa yang saya tahu, saya tidak bersalah. Kini, dengan kepimpinan baharu, saya bersedia untuk kembali menjadi jurulatih dan membantu mengembalikan zaman kegemi- langan sukan olahraga negara.

"Sukan olahraga telah mengalir dalam darah saya sejak kecil lagi. Jadi, tidak ada sebab untuk saya menolak jika KOM mena- warkan semula jawatan selaku jurulatih. Terpulang kepada mereka," kata Harun.