Hantu Kapcai cerita selepas mati




ISI Hantu Kapcai tidak banyak bezanya berbanding judul-judul filem seram komedi tempatan yang sebelum ini. Kisah sosial masyarakat Melayu seperti gejala lumba haram dan gangster kampung menjadi intipati naskhah ini.

Namun pengarah muda, Ghaz Abu Bakar berjaya menyampaikan cerita yang sedikit berlainan apabila menjadikan roh orang mati sebagai subjek utama. Unsur komedi sebagai medium penyampaian sedikit sebanyak menyelamatkan filem ini daripada dihentam gara-gara memaparkan kisah kehidupan selepas mati.

Hantu Kapcai mengisahkan mengenai Ajib lakonan Zizan Razak yang merupakan seorang pelumba haram. Ajib terperangkap dalam cara hidup tersebut dan terpaksa berlumba dengan musuh ketatnya, Tiger (Remy Ishak) demi memenangi wang pertaruhan.

Dalam perlumbaan itu Tiger menggunakan taktik kotor sehingga Ajib kemalangan dan terkorban.

Ajib menjadi hantu dan rohnya boleh dilihat oleh seorang lelaki lurus yang bernama Ibrahim (Fizz Fairuz). Melalui Ibrahim, Ajib menyatakan hasratnya yang belum tercapai untuk disampaikan kepada adiknya, Akim (Hairul Azreen).

Filem ini sedikit sebanyak boleh mengundang kontroversi dan tanda tanya apabila secara terang-terangan memaparkan perjalanan roh Ajib yang masih berada di dunia selama 40 hari sebelum ke alam seterusnya.

Dalam tempoh tersebut, roh Ajib yang boleh menjelma di mana-mana sahaja memberitahu hasratnya untuk membayar hutang Tiger.

Seakan bersedia dikritik terhadap isu sensitif tersebut, Ghaz pantas membuat penjelasan bahawa naskhah itu sekadar sebuah filem ringan dan permainan imaginasinya dan bukannya membelakangkan aspek agama.

Lakonan Fizz yang keluar daripada kepompong watak serius berjaya mencuri hati penonton dengan dialog bersahaja. Tidak keterlaluan untuk mengangkat Fizz sebagai lebih menyerlah berbanding Zizan kerana gelak ketawa penonton lebih banyak terarah kepada aksinya.

Dialog kasar dan berbaur lucah mungkin berlebihan dalam naskhah terbitan United Studios Sdn. Bhd. ini. Akibat terlalu banyak ditekankan, ia boleh membuatkan jalan ceritanya sedikit menjengkelkan.

Garapan imej janaan Komputer (CGI) yang agak kasar dan tidak kemas sedikit sebanyak mencacatkan keseluruhan filem.

Hantu Kapcai tidak menghampakan kerana turut menampilkan lakonan berkesan daripada Neelofa, Izzue Islam, Dian P. Ramlee dan Sabri Yunus.