Memo FAM



PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi amaran kepada 10 pasukan Liga Malaysia supaya melangsaikan tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial dan cukai pendapatan pemain yang berjumlah RM2.1 juta sebelum 23 November depan.

Tarikh tersebut merupakan hari terakhir bagi pendaftaran pasukan untuk musim 2013.

Ketika memberikan peringatan itu, Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin (gambar) berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menggugurkan 10 pasukan tersebut daripada bermain musim depan sekiranya mereka gagal berbuat demikian.

“Namun, saya tidak boleh mendedahkan nama 10 pasukan tersebut sehinggalah kita mengeluarkan surat amaran kepada mereka dalam tempoh terdekat,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM yang dipengerusikan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Dalam perkembangan lain, Hamidin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM berkata jawatankuasa tersebut sebulat suara bersetuju untuk mengekalkan penyertaan 16 pasukan dalam kempen Piala Malaysia musim depan.

Katanya, perkara tersebut telah dipersetujui oleh ahli Exco FAM setelah mengambil kira pandangan setiap pasukan dalam Liga Malaysia dan berharap perkara itu tidak dijadikan isu.

Sebelum ini terdapat laporan bahawa penyertaan pasukan dalam Piala Malaysia akan ditambah kepada 26 pasukan, namun terdapat bantahan daripada beberapa pihak termasuk daripada bekas pemain serta jurulatih.