Sebar mesej perpaduan melalui dakwah - TPM


MUHYIDDIN melancarkan buku bertajuk Falsafah Agama John Hick: Pengamatan Dari Kaca Mata Ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah sambil diperhatikan oleh Presiden Muafakat, Ismail Mina (tiga dari kiri) pada Seminar Dakwah Nasional 2012 di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gerakan dakwah di Malaysia boleh memainkan peranan utama dalam menyebarkan mesej perpaduan secara meluas kepada segenap lapisan masyarakat.

Beliau berharap peranan itu boleh dilaksanakan dengan berkesan kerana sifat gerakan dakwah yang bebas dan mempunyai pengaruh merentasi batas politik.

"Saya yakin perpaduan ummah akan dapat dicapai sekiranya semua pihak ikhlas dalam memperjuangkannya tanpa ada tujuan lain selain melihat Islam terus dimartabatkan dan syiar Islam ditegakkan di negara kita," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Dakwah Nasional 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini semalam.

Muhyiddin turut mengingatkan umat Islam di negara ini supaya mengelakkan perpecahan sesama sendiri dan mengekalkan perpaduan memandangkan ia faktor terpenting yang menentukan kesejahteraan ummah.

"Janganlah kita membiarkan perbezaan fahaman atau pandangan politik menyebabkan kita bersengketa sesama sendiri, berpecah-belah dan akhirnya merugikan umat Islam," katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.