Turki tahan pesawat Syria


GAMBAR menunjukkan sebuah pesawat penumpang Syria yang ditahan di Lapangan Terbang Esenboga, Ankara semalam.


ANKARA - Turki telah mengarahkan sebuah pesawat penumpang Syria yang dalam penerbangan dari Moscow untuk mendarat di Ankara semalam selepas menerima laporan bahawa pesawat itu disyaki membawa kargo berisi komponen senjata.

Tindakan Turki itu sekali gus meningkatkan lagi ketegangan antara dua buah negara jiran itu.

Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu berkata, pihak berkuasa menahan kargo yang terdapat di dalam pesawat penumpang Syria itu kerana disyaki berbahaya.

Pesawat itu dalam penerbangan menuju ke Damsyik.

Agensi media Anatolia memetik seorang pegawai pemerintah sebagai berkata, pihaknya mengesyaki pesawat tersebut membawa kargo senjata.

"Terdapat kargo yang haram di dalam pesawat itu yang sepatutnya dilaporkan selaras dengan peraturan penerbangan awam," kata Davutoglu.

Menurutnya, kargo itu akan ditahan buat sementara waktu.

Turki menghantar dua buah jet untuk mengarahkan pesawat Airbus A-320 itu mendarat di Ankara kerana disyaki membawa senjata dan peluru.

Menurut rangkaian berita NTV, kargo yang dirampas itu dipercayai komponen peluru berpandu.

Bagaimanapun, stesen televisyen TRT membuat spekulasi bahawa kargo tersebut mengandungi peralatan komunikasi yang menuju ke Damsyik.

Pesawat itu dibenarkan untuk meninggalkan Lapangan Terbang Esenboga di sini selepas sembilan jam ditahan.

Seramai 35 penumpang berada di dalam pesawat itu.

Menurut agensi berita Interfax, seramai 17 penumpang pesawat itu ialah warga Rusia termasuk kanak-kanak.

Kedutaan Rusia di Ankara telah menghubungi pemerintah Turki untuk mendapatkan penjelasan.

Bagaimanapun, Davutoglu menyatakan insiden tersebut tidak akan menjejaskan hubungan antara Turki dengan Rusia.

Ketika ini Syria dilanda pergolakan ekoran kumpulan pemberontak mahu menyingkirkan Presiden Bashar Al-Assad.

Pertempuran antara para pemberontak dan tentera Syria itu berlaku sejak Mac tahun lalu yang menyebabkan lebih 30,000 orang terbunuh. - Agensi