Seni suara Imam Muda


Album kompilasi lima buah lagu zikir ini menjurus kepada cita rasa halwa telinga anak-anak muda, penyampaian dan penghayatan zikir lebih segar dan disulami komposisi muzik lebih berani.


KESINAMBUNGAN jenama Imam Muda musim ketiga diteruskan dalam bidang seni suara apabila sebuah album kompilasi lima buah lagu zikir dan berinspirasikan ketuhanan bakal menemui peminat tidak lama lagi.

Lima buah lagu yang dinyanyikan oleh peserta-peserta Imam Muda musim ketiga berjudul Satu, Hasbi Rabbi, Subhanallah, Astaghfirullah dan gubahan semula lagu Allahyarham Datuk Ahmad Jais berjudul Takwa & Iman.

Album tersebut merupakan kompilasi kedua dari jenama Imam Muda selepas album pertama, Imam Muda: Memecah Tradisi berjaya merangkul tempat kedua Asian Television Award di Singapura tahun lalu.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, menariknya album kali ini akan ditampilkan bersama klip video lagu-lagu nyanyian sepuluh orang Imam Muda.

"Album ini menjurus kepada citarasa halwa telinga anak-anak muda, penyampaian dan penghayatan zikir lebih segar dan disulami komposisi muzik lebih berani.

"Pihak kami mahu melahirkan peserta yang serba boleh selaras dengan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin masyarakat.

"Pendekatan dakwah yang sedikit berbeza disampaikan melalui nyanyian dipilih kali ini," katanya yang ditemui selepas sidang akhbar majlis pelancaran album, Imam Muda 3: Ada Imam Di Kalangan Kita, di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lagu-lagu dalam album tersebut tambah Izelan diilhamkan oleh penggubah lagu yang sedang meningkat naik, Hezry Hafidz atau lebih dikenali AG Coco dari kumpulan Hujan.


(Dari kiri), Imam Muda Syed, Imam Muda Faris, Imam Muda Omar, Imam Muda Hafiz dan Imam Muda Naufal yang merupakan sebahagian daripada 10 Imam Muda musim ketiga yang terlibat dalam album Imam Muda 3: Ada Imam Di Kalangan Kita.


AG Coco pernah berkolaborasi bersama Astro untuk projek P. Ramlee... Dimana Kan Ku Cari Ganti: Satu Indiepretasi iaitu album kompilasi penghormatan buat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan album kompilasi, Aku Sudirman: Suatu Interpretasi.

Selain juara Imam Muda musim ketiga iaitu IM Jabbar, turut terlibat dalam pembikinan album itu termasuklah sembilan Imam Muda lain iaitu Ramadhan, Fakhrulrazi, Omar, Syed, Hafiz, Megat, Azri, Nasir dan Rahman.

Tidak pernah terfikir untuk diberi peluang menonjolkan bakat dalam bidang seni suara, kata Imam Muda Omar penghargaan ini amat besar nilainya.

"Nyanyian merupakan salah satu medium menyalurkan dakwah dengan lagu-lagu berunsurkan nasihat dan puji-pujian kepada Allah, semoga album ini mendapat sambutan dalam kalangan peminat program Imam Muda khususnya," kata pemilik nama sebenar Omar Mohd. Mokhtar, 21.

Hal yang sama dipersetujui oleh Imam Muda Hafiz atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Abdul Khodir, 28, yang baru melangsungkan perkahwinan usai program Imam Muda sebulan lalu.

"Kenal dan lihat dari akar umbi masalah sebenar yang berlaku dalam masyarakat kita membantu memperbetulkan persepsi asal, begitulah peranan yang dibawa oleh bidang seni suara," ujarnya.

Album terbitan Measat Broadcast Network System Sdn. Bhd. dan edaran Warner Music (Malaysia) Sdn. Bhd. itu boleh didapati di pasaran dengan harga RM12.90. - KHAIRUL AMRI HASSAN