Pandu dulu baru tahu


REKA bentuk Civic kali ini dilihat lebih eksekutif berbanding generasi sebelumnya.


BUKAN senang untuk mengubah sesuatu yang sudah sedia cantik dan mendapat perhatian ramai. Itulah dilema yang terpaksa ditempuh oleh pasukan jurutera Honda ketika menghasilkan sedan pentingnya, Civic.

Civic sudah boleh dikatakan sebagai cukup matang. Menjadi model penting sejak ia dikeluarkan untuk pasaran Amerika Syarikat (AS) sekitar tahun 1970-an, Civic mengalami revolusi yang bukan sedikit.

Bukan sekadar saiz tubuh yang semakin membesar, malah ciri yang ada padanya bertambah canggih. Keupayaan sebuah Civic terus ditambah baik dari satu generasi ke generasi seterusnya, terutama dari aspek penjimatan bahan api, pengendalian, reka bentuk, keselamatan dan banyak lagi.

Secara kumulatifnya, Civic telah terjual sebanyak 19.7 juta di seluruh dunia sejak pelancaran model pertamanya pada tahun 1972. Di Malaysia, apabila Civic generasi ketujuh diperkenalkan pada tahun 2003, sedan itu mencatat jualan sebanyak 58,000 unit. Jumlah itu sekali gus menjadikan Civic sebagai peneraju pasaran dalam segmen sedan bukan nasional.

Ternyata rakyat Malaysia masih terpengaruh dengan model Civic generasi kelapan. Malah, seorang kawan saya sendiri tetap membelinya walaupun tahu Civic terbaharu akan dilancarkan tidak lama lagi.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa ia merupakan antara model Civic yang paling sporty dan memiliki reka bentuk menarik. Ia juga menjadi model pertama yang memperkenal rekaan paparan meter bertingkat pada papan pemukanya.

Tema spesifik

Jadi, apabila Civic generasi kesembilan diperkenalkan, ramai yang kurang bersetuju dengan reka bentuk luarannya. Pengguna seakan-akan berpendapat, Civic itu mestilah mempunyai reka bentuk dan ciri-ciri yang lebih hebat.

Jangan menilai sesuatu dari bentuk luarannya sahaja. Betul, mungkin Civic tidak menepati piawaian reka bentuk anda, tetapi jangan biarkan persepsi itu mengaburi intipati yang membentuk Civic sebagai sebuah sedan yang bagus.

Apatah lagi setiap generasi Civic dibina dengan tema spesifik. Bagi Civic terbaharu, ia berpaksikan kepada konsep asas iaitu futuristik dan kompak dengan gaya tersendiri. Dibina berasaskan model sebelumnya, ia dimodelkan semula dengan pembaharuan lebih baik.

Saya berpeluang dua kali memandu Civic. Pertama di Bangkok, Thailand beberapa bulan sebelum ia dilancarkan secara rasmi di pasaran tempatan. Sementara kali kedua pula adalah ketika menyertai sekumpulan media memandu uji Civic menuju ke Pulau Pinang.

Secara ringkasnya, apa yang boleh saya katakan adalah anda perlu memandu kereta itu sebelum membuat penilaian. Ini kerana Civic baharu menawarkan kualiti pemanduan yang lebih memuaskan dalam banyak aspek. Paling ketara adalah betapa cemerlangnya ia ketika mengambil selekoh.

Kolaborasi di antara maklum balas stereng, badan kenderaan dan suspensi begitu meyakinkan. Malah, sistem suspensi yang terdiri daripada topang MacPherson untuk roda hadapan dan multi-link pada roda belakang memberikan anda keselesaan yang sewajarnya ketika melalui laluan tidak berapa elok. Inilah antara kepakaran Honda yang sukar ditandingi oleh pesaing dalam kelasnya.

Kestabilan di atas jalan raya juga banyak disokong oleh aplikasi Vehicle Stability Assist (VSA) yang diintegrasikan bersama sistem Motion Adaptive EPS (Electric Power Steering). Sistem-sistem tersebut membantu pemandu mengawal kenderaan sekiranya berada dalam kondisi oversteer dan understeer.

Berbaloi untuk dimiliki

Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia) menawarkan Civic dalam empat varian iaitu 1.8S, 2.0S,2.0 Navi dan Civic Hybrid. Menjadi model asas, varian 1.8S sebenarnya sudah berbaloi untuk dimiliki.

Pada takat harga RM115,980 seunit di atas jalan termasuk insurans, anda sudah dapat sebuah sedan yang lengkap. Civic 1.8S dipasang dengan enjin SOHC i-VTEC yang mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 141PS.

Ouput enjin aspirasi biasa itu tidaklah sebanyak enjin dengan unit turbo atau sebagainya, tetapi sudah memadai untuk membawa jentera itu meluncur lancar di atas jalan raya.

Kalau orang lain sibuk dengan kotak gear enam, tujuh kelajuan berkembar atau sebagainya, Honda hanya menggunakan transmisi lima kelajuan torque converter konvensional. Apa pun, apa yang lebih penting ia mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan baik dan pada masa sama membantu menjimatkan penggunaan bahan api.

Bagi memberikan pengalaman pemilikan Civic yang memuaskan hati, jaminan tanpa had perbatuan telah dipanjangkan sehingga lima tahun. Pemilik juga tidak lagi perlu menyelenggara Civic setiap 5,000 kilometer (km), sebaliknya selang penyelenggaraan itu boleh dibuat selepas perjalanan mencecah 10,000km.

Tidak cukup dengan itu, Honda menawarkan kos buruh secara percuma sebanyak enam kali yang diselang-selikan dengan servis berbayar sehingga perbatuan mencecah 100,000km.

“Civic ini mengambil semua nilai-nilai generasi sebelumnya iaitu jimat minyak, teknologi pintar dan nilai jangka panjang. Ia juga lebih sofistikated dan memiliki penampilan yang energetik,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno.

Memang betul pun. Kalau anda jenis yang selalu bertukar kereta dan tidak rela nilai kereta terpakai jatuh merudum, membeli Civic mungkin satu tindakan yang bijak.