Gesel hidung cara Nora, Adi


HUBUNGAN kimia antara Adi dan Nora yang sudah lama terbina tidak menampakkan suasana kekok antara mereka.


ADEGAN gesel hidung antara Arisa (Nora) dan Johan (Adi Putra) dalam filem ke-66 MIG mengingatkan penulis kepada filem Adik Manja yang ditayangkan pada tahun 1979.

Namun filem Aku Terima Nikahnya, kemesraan itu dipamerkan dalam hubungan antara pengantin baharu yang sedang menikmati enaknya cinta.

Filem ini antara yang ditunggu ramai. Gambar-gambar adegan mesra antara Adi dan Nora sudah menjemput rasa mahu ditonton. Bukan kerana gosip yang pernah menimpa mereka tetapi kerana rentetan kejayaan kolaborasi ini dalam sebuah drama sebelum ini.

Lalu Eyra Rahman menggandingkan dua pelaris filem itu, filem genre romantis yang mengangkat nilai sebuah perkahwinan.

Skrip dalam filem ini longgar sehingga gagal membuahkan emosi sedih atau romantis. Bagaimanapun, ekspresi yang dilontarkan oleh setiap pelakon menambah ruang yang longgar dan lemah tersebut. Mujurlah juga ada Ahmad Tarmimi Serigar dan Azizah Mahzan yang memang terkenal dengan kredibiliti lakonan mereka.

Kolaborasi antara Nora dan Adi tidak ada pertikaian sebelum Johan (Adi) ditimpa musibah. Mereka romantis, berjaya mempamerkan sisi cinta mati antara Adam dan Hawa dan betapa kasihnya mereka terhadap sebuah perkahwinan.

Namun selepas musibah terjadi, lakonan Adi sedikit terganggu kerana dia mengangkat Johan dengan sedikit kemarahan yang tidak nampak jalur asalnya. Kecelaruan fikirannya diangkat dengan amarah dan tidak tahu sebab kenapa dia perlu 'keras' sehingga tahap begitu.

Pujian harus diberikan kepada aktres Nora Danish yang mengangkat sisi kewanitaan Arisa yang tabah menghadapi dugaan dan rintangan pada awal perkahwinan. Air dan gerak mata serta mimik muka Nora sampai kepada sebuah kesedihan dan kecintaan. Cuma kadangkala intonasi sebutan yang comel melenyapkan rasa sedih. Namun itu bukan satu kelemahan besar. Dia adalah pemanis untuk filem ini.

Komen Sofia: Lakonan Nora semakin profesional seiring penampilannya yang menarik dalam setiap adegan.