Akui pernah merajuk



BIARPUN tampil dengan imej bertudung sejak awal kemunculannya dalam bidang seni, ternyata pelakon Rafidah Ibrahim tidak dapat mengelak daripada terjebak dengan kisah-kisah panas yang menjadi lumrah dalam kehidupan seorang artis.

Kontroversi Rafidah atau mesra dipanggil Fida bermula apabila gambarnya yang tidak bertudung tersebar di internet yang berpunca daripada perbuatan bekas kekasihnya iaitu Mamat Sepah sehingga mengakibatkan hubungan mereka berakhir.

Tidak lama kemudian, pelakon yang berusia 28 tahun itu dikatakan pula sudah mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan bertaraf VIP serta menjadi isteri kedua.

Terkini, menerusi akaun Twitternya pelakon itu membuat pengakuan bahawa dia mahu berhijrah ke Indonesia, sekali gus membuatkan para peminatnya terkejut dengan keputusan yang dibuatnya itu.

Berkesempatan bertemu Fida sewaktu siri jelajah Anugerah Skrin 2012 yang berlangsung di Gurney Plaza, Pulau Pinang baru-baru ini, dia lantas menjelaskan maksud di sebalik kenyataan tersebut.

"Ya, saya pernah berhasrat untuk berhijrah ke Indonesia semasa bulan Ramadan yang lalu dan itu yang menyebabkan saya membuat kenyataan di laman Twitter.

"Apabila difikirkan semasak-masaknya serta dinasihatkan oleh beberapa orang rakan, akhirnya saya membatalkan hasrat tersebut. Lagipun pada masa itu Hari Raya Aidilfitri juga semakin hampir dan seelok-eloknya saya terus bersama keluarga," jelasnya.

Ditanya apakah punca dia membuat keputusan sedemikian, pelakon yang membintangi drama bersiri Runtun Qalbu itu mengakui bahawa dia sebenarnya merajuk sehingga mahu membawa diri ke Indonesia.

Bagaimanapun, Fida tidak mahu membuka mulut serta enggan menjelaskan perkara yang sebenar punca membuatkan dirinya merajuk, meskipun diasak berulang-ulang kali.

"Tidak perlulah ditanyakan punca saya merajuk memandangkan saya masih belum bersedia untuk bercerita mengenainya buat masa sekarang. Apa yang boleh saya katakan, rajuk saya itu tidak berkaitan dengan industri hiburan, sebaliknya ia lebih bersifat peribadi.

"Kalau boleh biarlah ia terus menjadi rahsia dan saya anggap semua yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Kini, biarlah saya memberi sepenuh tumpuan kepada kerjaya seni," ujarnya sambil menafikan segala yang terjadi berpunca daripada insan bergelar lelaki.

Namun begitu, Fida memberitahu hasrat untuk ke Indonesia masih lagi ada terutamanya untuk melebarkan sayap perniagaan minuman kesihatan Teh Misai Kucing yang sedang dijalankannya sekarang.


SELAIN sedang hangat dengan drama rantaian Runtun Qalbu, Fida kini muncul dengan sebuah single bersama Datuk AC Mizal dan Stella Band menerusi lagu yang disusun semula, Apo Kono Eh Jang.


Menurut Fida, dia mula menjalankan perniagaan tersebut sejak bulan Mei lalu ketika menyertai program Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya dan kini dia berusaha mengembangkan lagi perniagaannya itu.

"Sebelum ini saya pernah menjalankan perniagaan tudung, tetapi ia tidak dapat diteruskan setelah berdepan beberapa masalah. Kini saya beralih pula dengan perniagaan sekarang.

"Pada mulanya saya sekadar menjadi pengguna biasa minuman Teh Misai Kucing ini, namun setelah mendapati minuman tersebut mengandungi pelbagai khasiat, saya membuat keputusan untuk menjualnya pula," ujarnya.

Masih berkawan

Sebelum ini Fida pernah menjalinkan hubungan cinta dengan pelawak Mamat Sepah pada tahun lalu, tetapi kini kisah cinta mereka sudah berakhir dan tinggal menjadi sejarah buat mereka berdua.

Walauapun tidak lagi menjalinkan sebarang hubungan istimewa dengan pelawak berkenaan, Fida menyatakan hubungan mereka sekarang tidak lebih daripada seorang kawan.

"Rasanya tidak salah kalau kami terus berkawan seperti biasa, meskipun dia sekarang merupakan bekas kekasih saya. Lagipun tidak guna kalau kami terus bergaduh dan bermusuh.

"Sekarang ini kami lebih selesa dalam hubungan sebagai kawan dan apa yang berlaku antara saya dan Mamat dahulu biarlah menjadi pengalaman dan pengajaran yang berguna," ujarnya.

Mengenai status dirinya sekarang setelah menafikan pernah mendirikan rumah tangga, pelakon berkenaan menyatakan dia sekarang masih lagi tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan mana-mana lelaki.

"Biarlah saya beri lebih tumpuan kepada kerjaya sekarang memandangkan rezeki dalam bidang seni semakin banyak. Lagipun, jadual harian saya bertambah padat kerana kini saya sudah mula berjinak-jinak dengan nyanyian dan baru sahaja menghasilkan single terbaharu," ujarnya.

Nafas baharu

Bercerita dengan lebih lanjut mengenai single terbaharunya iaitu Apo Kono Eh Jang, Fida menyatakan dia baru selesai menjalani penggambaran klip video lagu tersebut pada 13 Oktober lalu.

Menurut Fida, menerusi lagu yang pernah dipopularkan oleh Ally Noor dan Mastura itu, dia turut menjalinkan kerjasama dengan Datuk AC Mizal dan Stella Band.

"Komposer Sheikh Qalam merupakan individu yang telah memberi idea untuk merakamkan semula lagu ini setelah kami melakukan perbincangan bersama apabila saya menyatakan hasrat mahu menghasilkan single baharu.

"Beliau juga memainkan peranan membuat susunan muzik semula dan memberi nafas baharu dan lagu ini sudah siap dirakamkan dua bulan lalu. Secara keseluruhannya, saya sangat berpuas hati dengan hasilnya dan ia memberi kelainan berbanding lagu asal," jelasnya.

Ujarnya, single terbaharunya itu sudah pun mula diputarkan di beberapa buah stesen radio popular dan gembira kerana ia mendapat maklum balas yang positif daripada para peminatnya.


FIDA tidak mahu memikirkan soal cinta selepas putus cinta dengan pelawak Mamat Sepah. Dia mahu memberi fokus terhadap kariernya yang semakin berkembang.


"Ada peminat saya yang memberikan pujian kerana saya mampu menyanyikan lagu berkenaan dengan baik, walaupun mereka tahu saya bukan berasal dari Negeri Sembilan. Ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk mempromosikan lagu ini," ujarnya.

Jelasnya, menerusi single yang akan datang, dia sudah berbincang dan akan terus bekerjasama dengan komposer berkenaan untuk merakamkan sebuah lagu lama yang turut diberi nafas baharu.